Suku Semai bimbang ditahan jika teruskan sekatan 


Noel Achariam

Suku Semai bina sekatan di pintu masuk ke penempatan keluarga mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Mac, 2020.

SELEPAS lebih sebulan bertahan, ketegangan tercetus semula di perkampungan Orang Asli di Ulu Geruntum di Gopeng, Perak apabila kontraktor membawa jentolak dan gergaji rantai muncul untuk merobohkan sembilan pondok yang dibina di atas tanah yang dicadangkan untuk pembinaan empangan mini hidro.

Bimbang tanah adat mereka diceroboh oleh kontraktor, Suku Semai membina sekatan pada pintu masuk ke kawasan penempatan yang menjadi tempat tinggal keluarga mereka.

Sekatan dibina selepas menyedari pihak kontraktor mula membawa masuk bahan binaan dan meletakkan berhampiran pintu masuk ke kawasan pondok mereka minggu lalu.

Langkah itu diambil selepas mereka kembali dari Mahkamah Tinggi Ipoh pada 3 Mac, yang mana status tanah adat mereka dipertikaikan oleh kerajaan negeri Perak.

Salah seorang penduduk, Wah Sona memberitahu The Malaysian Insight, kira-kira 10 kontraktor muncul di pintu masuk ke perkampungan mereka, diiringi beberapa anggota polis pada Isnin.

“Kontraktor mahu robohkan pondok kami. Tetapi kami tidak benarkan mereka masuk ke kawasan kami.

“Tok batin sudah ke balai polis Gopeng untuk berbincang mengenai situasi itu,” kata Wah Sona, 49, kepada The Malaysian Insight.

Di balai polis, Wah Sona berkata, mereka diberi amaran bahawa mereka boleh ditangkap sekiranya masih menghalang projek berkenaan yang sudah diluluskan kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, Suku Semai tetap tidak akan berganjak dan akan meneruskan sekatan.

“Kami ada hak atas tanah ini. Pondok kami masih berdiri dan kami akan terus halang sesiapa yang cuba ceroboh tanah kami.”

Suku Semai turut berharap Perak, di bawah kerajaan baharu akan membatalkan projek empangan mini hidro yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kerana ia mencerobih tanah adat mereka.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan 31 empangan mini di sepanjang tiga sungai, termasuk Sungai Kampar. Suku Semai turut memfailkan saman berhubung pembinaan empangan itu yang menjejaskan tanah mereka.

Walaupun mereka membuat tuntutan, kerajaan negeri di bawah Pakan Harapan tahun lalu memberi kebenaran untuk projek itu diteruskan atas dasar ia mengikut kontrak.

Kumpulan peguam turut memfailkan tuntutan agi menghentikan projek berkenaan dan mengiktiraf tanah adat Suku Semai sebelum pilihan raya umum ke 14, pada Mei, 2018.

Pada 2 Mac, mereka memulakan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh yang mana Suku Semai menuntut hak ke atas tanah adat mereka.

Penduduk di perkampungan Orang Asli itu membantah pembinaan projek mini hidro sejak 2012. Ia bermula dengan 25 projak mini hidro yang diluluskan BN pada 2012.

Enam lagi projek diluluskan tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan empangan bernilai RM2.92 bilion itu 31.

Penduduk kampung mendakwa syarikat konsesi, Perak Hydro memusnahkan tanah perkuburan nenek moyang mereka dan tanaman ketika pembinaan jalan serta menceroboh tanah mereka. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen