PELANTIKAN menteri dan timbalan menteri dari Umno dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengelakkan pergeseran dalam parti antara penyokong presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, kata sumber dalaman parti.
Mereka berkata Muhyiddin perlu meredakan pertembungan dua kumpulan itu supaya tidak melemahkan gabungan baharu Perikatan Nasional.
“Minggu lepas keadaan agak tegang. Walaupun kuasa lantik ahli Kabinet hak perdana menteri, kena ambil kiralah pandangan presiden.
“Presiden juga ada perkiraan sendiri untuk elakkan konflik dalam parti.
“Tetapi selepas pengumuman dibuat, ramai yang lega. Penyokong presiden ada, penyokong Hishammuddin juga ada. Seimbang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam barisan jemaah menteri yang diumumkan Muhyiddin kelmarin, Umno mendapat sembilan jawatan menteri dan tujuh timbalan menteri, termasuk seorang yang dilantik sebagai senator. Umno mempunyai 39 wakil di Dewan Rakyat.
Seorang lagi sumber dalaman Umno berkata walaupun majoriti menteri dan timbalan menteri dilantik dalam kalangan mereka yang menyokong Hishammuddin, Umno lega apabila kepimpinan utama parti turut terpilih menganggotai Kabinet.
Beliau menarik perhatian kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa beberapa hari sebelum pengumuman barisan menteri oleh Muhyiddin.
Jelasnya, pelantikan naib presiden Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri kanan, Annuar dan ketua penerangan Shamsul Anuar Nasarah sebagai menteri meredakan keadaan.
“Perkara ini Annuar ada tekankan minggu lalu. Kesilapan memilih akan melemahkan Perikatan Nasional.
“Bila kepimpinan utama Umno seperti Annuar dan Shamsul yang dilantik oleh presiden mendapat tempat sebagai menteri, ramai rasa lega,” katanya.
Minggu lalu, Annuar menulis di Twitter, yang dianggap ditujukan kepada Muhyiddin, mengingatkan agar berhati-hati jangan sampai Perikatan Nasional kemudiannya runtuh kerana gagal mengurus parti.
“Satu daripada punca kejatuhan PH ialah kegagalan mengurus antara idealisme peribadi PM dengan aspirasi parti dalam gabungan.
“Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, percayalah PN akan memecahkan rekod PH sebagai kerajaan paling singkat!,” katanya.
Ismail dilantik sebagai menteri pertahanan, Annuar sebagai menteri Wilayah Persekutuan, sementara Shamsul ialah menteri tenaga dan sumber asli.
Sumber memberitahu, Annuar dan Shamsul lebih dianggap sebagai “orang Zahid” manakala Ismail dilihat tidak memihak mana-mana kumpulan.
Sumber juga berkata sekurang-kurangnya lima menteri dilihat dekat dengan Hishammuddin.
Antara mereka ketua Wanita Noraini Ahmad (menteri pengajian tinggi), Dr Adham Baba (menteri kesihatan), Halimah Mohamed Sadique (menteri perpaduan negara), dan Reezal Merican Naina Merican (menteri belia dan sukan).
Sumber juga menjelaskan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, sama seperti Ismail, tidak dianggap menyebelahi mana-mana kelompok. – 11 Mac, 2020.
Komen