SERAMAI 12 pegawai kanan polis termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan ditahan dalam operasi memburu pegawai yang dipercayai melindungi syarikat kenderaan berat yang melakukan kesalahan trafik.
Kesemua mereka dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang akan direman di Mahkamah Majistret Georgetown, pagi esok.
“Peranan mereka adalah melindungi kenderaan berat yang melakukan kesalahan-kesalahan lalu lintas dan muatan berat yang melalui kawasan mereka. Rasuah dibayar bagi tutup mata semua jenis kesalahan trafik.
“Lori-lori bebas bergerak melebihi muatan, tidak memenuhi peraturan trafik dan keselamatan jalan raya malah mereka juga dipercayai akan membocorkan maklumat tentang operasi di jalanraya,” kata sumber agensi anti rasuah kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
“Semua ditahan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya.
SPRM hari ini memulakan operasi memburu lebih 70 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan di utara tanah air dikenal pasti terlibat dalam kumpulan yang mengambil rasuah untuk melindungi pemandu lori dari tindakan undang-undang.
Sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight hasil risikan mendedahkan setiap anggota penguatkuasa terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM36,000 secara bulanan.
“Anggota penguatkuasa beberapa agensi yang bertugas di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis ini disyaki berbuat demikian untuk tidak bertindak ke atas pemandu lori membawa lebih muatan.
“Operasi ini terbahagi kepada beberapa fasa dan sejak pagi tadi, seramai lapan orang ditahan termasuk pegawai kanan yang mengetuai jabatan penguatkuasa di peringkat negeri,” menurut sumber
Sindiket yang dianggotai puluhan pegawai dari pelbagai agensi mampu meraih ratusan ribu ringgit sebulan hasil komplot jenayah mereka.
Operasi itu dijalankan agensi anti rasuah susulan keluhan pemandu lori yang mendakwa terpaksa membayar wang sogokan kepada pegawai penguatkuasa untuk memandu di negeri utara tanah air tanpa dikenakan tindakan.Ada juga pemandu lori yang diugut kumpulan ini sekiranya tidak membayar wang sogokan.
Tahun lepas, SPRM menahan 75 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai telah mengutip rasuah antara RM10,000 dan RM36,000 setiap bulan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang membawa lebih muatan.
Turut dilaporkan beberapa pegawai JPJ dan polis membalas dendam dan menuntut pampasan bagi bulan-bulan yang mereka tidak dapat mengutip rasuah.
Menurut sumber, operasi terbaharu ini dilakukan berdasarkan laporan daripada pemandu lori yang membuat aduan mereka diminta memberi rasuah sekiranya tidak mahu ada masalah dengan JPJ dan polis ketika memandu di utara. – 10 Mac, 2020.
Komen