PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada arah dan tidak mempunyai kepimpinan yang jelas, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata, ia punca utama mengapa parti Islam itu tidak menjalin hubungan dengannya.
“Kita sudah membuat penilaian, Bersatu adalah parti yang tiada arah, dan pemimpin juga tidak tahu siapa, siapa imam dan siapa makmum…
“Sebab itu kita buat keputusan untuk tidak mempunyai hubungan dengan parti itu,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Komen Hadi susulan pemimpin Bersatu seperti timbalannya Mukhriz Mahathir yang berkata parti itu masih terbuka mengadakan perbincangan dengan PAS.
Mukhriz semasa temuramah bersama The Malaysian Insight sebelum ini berkata walaupun pucuk pimpinan PAS memberi isyarat bercampur, kepimpinan negeri seolah-olah lebih praktikal dan tahu apa yang mereka mahu.
“Dan mereka bersedia bekerjasama dengan kami. Juga ahli akar umbi PAS tidak boleh membayangkan bekerjasama dengan Umno walaupun mereka tidak ragu-ragu berbuat demikian dengan Bersatu,” Mukhriz berkata.
Selain itu, Hadi turut mengkritik DAP yang dikatakan menolak kepimpinan Islam dalam negara.
“Ini bercanggah dengan konsep perjuangan PAS di mana kepimpinan negara mestilah Islam kerana Perlembagaan kata ia agama persekutuan, dan majoriti kaum di Malaysia adalah orang Islam.
“Sebuah negara yang stabil mesti menghormati kaum paling berpengaruh dalam negara itu. Ini teori politik di mana-mana termasuk demokrasi barat. Apabila ia membawa fahaman cauvinisme terhadap sesuatu kaum, tanpa menghormati kaum lain, ia bercanggah dengan perjuangan kita,” kata beliau. – 29 April, 2017.
Komen