Ahli Parlimen Bintulu gagal hadir majlis angkat sumpah 


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing gagal menghadiri majlis angkat sumpah sebagai timbalan menteri kabinet baharu di Istana Melawati di Putrajaya hari ini.– Gambar Facebook, 10 Mac, 2020.

AHLI Parlimen Bintulu, Tiong King Sing tidak dapat dikesan selepas gagal menghadiri majlis angkat sumpah sebagai timbalan menteri dalam kabinet baharu di Istana Melawati di Putrajaya hari ini.

Tiada sebab rasmi diberikan namun menurut laporan The Borneo Post yang memetik sumber, mendakwa presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) “telah menolak pelantikan” sebagai timbalan menteri di Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut laporan itu, sumber berkenaan tidak menjelaskan mengapa Tiong menolak pelantikan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing membeirtahu The Malaysian Insight bahawa jawatan itu “tidak sesuai” namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, pegawai media Tiong, Rose Sia memberitahu The Malaysian Insight, beliau tidak jumpa dengan Tiong sepanjang hari ini dan tidak tahu sama ada benar atau tidak Tiong menolak pelantikan itu.

“Saya juga tidak pasti,” katanya dan menambah beliau akan memberi jawapan segera selepas mendapat “pengesahan yang boleh dipercayai”.

Bekas perdana menteri Najib Razak melantik Tiong sebagai duta khas Asia Timur iaitu Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

Pelantikan itu ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

PDP hanya mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Anyi Ngau yang mewakili Parlimen Baram.

Parti itu merupakan salah satu daripada emat parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS). Tiga lagi adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen