DZULKIFLI Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau terkejut apabila mendapat tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mendakwa Najib Razak pada Disember 2015 atas penyelewengan berkaitan skandal 1MDB.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu berkata beliau percaya Najib tidak patut didakwa atas kesalahan jenayah berhubung isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri.
Semasa disoal balas ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Dzulkifli ditanya mengenai reaksinya apabila kertas siasatan yang mencadangkan supaya Najib didakwa dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada 31 Disember 2015.
Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain dalam keterangannya sebelum ini berkata beliau yang menghantar kertas siasatan tersebut. SPRM ketika itu diketuai oleh Abu Kassim Mohamed, yang kemudiannya digantikan dengan Dzulkifli pada 2016.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu SPRM hendak dakwa Najib,” katanya kepada mahkamah.
Saksi pembelaan itu berkata pada 3 Ogos 2015 SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan RM2.6 bilion itu adalah derma.
“Pada masa yang sama, saya bersama pasukan ke Riyadh (pada November 2015) bagi mengesahkan bahawa empat surat itu adalah derma. Kami tunjukkan bahawa itu adalah derma dan saya ingat isu itu sudah selesai.”
Dzulkfili berkata kenyataan diambil daripada Najib, Low Taek Jho di Riyadh dan Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud, yang didakwa menandatangani empat surat mengesahkan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi kepada Najib.
SPRM mencadangkan supaya Najib didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas jenayah penyelewengan. – 10 Mac, 2020.
Komen