11 dicekup kes rasuah, puluhan lagi tunggu masa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Suember SPRM berkata lebih 70 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan di utara tanah air dikenal pasti terlibat dalam kumpulan yang mengambil rasuah untuk melindungi pemandu lori dari tindakan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

LEBIH 70 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan di utara tanah air dikenal pasti terlibat dalam kumpulan yang mengambil rasuah untuk melindungi pemandu lori dari tindakan undang-undang.

Daripada jumlah itu, 11 orang sudahpun ditahan dalam operasi bermula hari ini, menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiap anggota penguat kuasa terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM25,000 secara bulanan.

Menurutnya anggota penguatkuasa beberapa agensi yang bertugas di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis ini disyaki berbuat demikian untuk tidak bertindak ke atas pemandu lori membawa lebih muatan.

“Operasi ini terbahagi kepada beberapa fasa dan sejak pagi tadi, seramai lapan orang ditahan termasuk pegawai kanan yang mengetuai jabatan penguatkuasa di peringkat negeri.

“Masih ramai dalam radar kami dan akan ditahan secara berfasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, sindiket yang dianggotai puluhan pegawai dari pelbagai agensi mampu meraih ratusan ribu ringgit sebulan hasil komplot jenayah mereka.

“Kita menjangka dapat mendapatkan permohonan reman ke atas mereka pagi esok,” katanya.

Sumber berkata, operasi itu susulan keluhan pemandu lori yang mendakwa terpaksa membayar wang sogokan kepada pegawai penguatkuasa untuk memandu di negeri utara tanah air tanpa dikenakan tindakan.

“Ada juga pemandu lori yang diugut kumpulan ini sekiranya tidak membayar wang sogokan,” kata sumber.

Menurutnya, operasi diteruskan kali ini selepas tindakan ke atas kumpulan penguat kuasa dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun lalu tidak berkesan.

“Kami menyangka dengan operasi tegas ke atas penguat kuasa dan pegawai JPJ tahun lalu, masalah ini akan selesai namun mereka nampaknya masih degil dan tidak insaf.

“Disebabkan itu, gelombang operasi kali ini perlu dijalankan,” katanya.

Beliau mendedahkan, risikan mendapati pada mulanya pegawai agensi penguatkuasa meminta syarikat logistik berhenti merasuah mereka bagi mengelakkan menjadi perhatian SPRM .

Bagaimanapun selepas setahun penangkapan beramai-ramai itu, keadaan kembali seperti biasa malah ada di kalangannya meminta pampasan jika tidak mendapat habuan pada bulan tertentu.

“Aktiviti mereka ini dipercayai bermula sejak Julai tahun lalu, tiga bulan selepas penangkapan di Pulau Pinang.

“Mereka pada mulanya takut, semua pemindahan wang digantung dua bulan (Mei dan Jun tahun lalu). Tetapi mereka tegaskan bayaran Julai patut digandakan sebagai pembayaran balik untuk bulan sebelumnya.

“Rasuah diberikan kepada penguat kuasa untuk menutup mata terhadap kesalahan seperti mengangkut barang melebihi muatan atau pembocoran maklumat awal berkaitan operasi yang akan dijalankan,” katanya.

Jelasnya, bayaran dibuat dibuat segera apabila sesebuah lori didapati mempunyai masalah dalam sekatan jalan raya.

Selain itu terdapat juga bayaran bulanan bagi mendapatkan perlindungan daripada penguat kuasa, katanya.

Katanya, kebiasaannya pemindahan wang dibuat menggunakan akaun milik ejen, anggota keluarga atau rakan-rakan pegawai itu bagi menyukarkan siasatan.

April tahun lalu, SPRM menahan sekurang-kurangnya 75 penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ.

Lori terbabit dalam kes itu juga dilindungi menggunakan pelekat khas yang didakwa hanya dikenali dan difahami penguat kuasa terbabit. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen