SAKSI perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor hari ini mengesahkan pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin membuat dua pengeluaran berjumlah RM6.5 juta pada dua waktu berasingan.
Penolong pengurus cawangan Maybank Medan Tuanku, Low Ai Lin memberitahu mahkamah, Saidi mengeluarkan RM5 juta pada 20 Disember dan RM1.5 juta lagi pada 7 September, 2017.
Saksi ke-11 itu berkata, pada 20 Disember, 2016, sebanyak RM6 juta didepositkan ke akaun Maybank Islamic milik Saidi menerusi transaksi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS).
Menurut saksi, pada hari yang sama, Saidi menulis cek untuk mengeluarkan RM5 juta menerusi cek bernombor 198979. Beliau mengesahkan pengeluaran itu berlaku di Maybank cawangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.
Ai Lin kemudian membaca penyata bank dan menyatakan setakat 31 Disember, 2016, baki dalam akaun bank Saidi adalah RM3.16 juta.
Bagi transaksi lain, Ai Lin berkata Saidi membuat pengeluaran sebanyak RM1.5 juta pada 7 September, 2017 menerusi cek bernombor 169589 di cawangan bank yang sama.
Ai Lin juga berkata, beliau memeriksa akaun Saidi pada 18 Julai, 2018 dan mendapati ia masih aktif dengan baki sebanyak RM416.26. Saidi membuka akaun Maybank pada 27 Mac, 2009.
Timbalan pendakwa raya Idham Abdul Ghani bertanya Ai Lin sama ada terdapat aduan dibuat mengenai dua pengeluaran itu. Saksi kemudian menjawab tiada aduan daripada sesiapa berhubung pengeluaran itu sehingga hari ini.
Rosmah, 69 berdepan tiga pertuduhan rasuah, salah satunya kerana meminta rasuah RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu Jepak mendapatkan projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak.
Dalam pernyataan pembukaan, pendakwa raya Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Saidi telah memberikan Rosmah wang tunai RM5 juta selepas Surat Anugerah dikeluarkan kepada Jepak oleh Kementerian Pendidikan. Wang itu dihantar ke kediaman rasmi Rosmah di Putrajaya.
Kontrak solar itu telah dilaksanakan pada 20 Jun, 2017. Kementerian Pendidikan kemudian mengeluarkan siri pembayaran kepada Jepak. Kemudian, RM1.5 juta lagi dihantar secara tunai oleh Saidi kepada Rosmah di kediamannya di Langgak Duta pada 7 September, 2017.
Ia sama dengan jumlah yang didakwa diterima daripada Saidi sebanyak RM6.5 juta pada 2016 dan 2017.
Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga, kakitangan Maybank cawangan Medan Tuanku turut memberitahu Saidi mengeluarkan RM6.5 juta wang tunai daripada bank berkenaan. – 10 Mac, 2020.
Komen