BARISAN Kabinet Persekutuan yang baharu menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunaikan janjinya untuk membariskan anggota Kabinet yang bersih dan profesional, kata Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Dr Goh Tian Chuan.
Beliau berkata anggota Kabinet berkenaan tidak melibatkan ahli-ahli politik yang sedang menghadapi tindakan undang-undang dan menyaksikan pelantikan golongan profesional memegang portfolio utama.
“Penyertaan wakil rakyat pelbagai kaum, termasuk mereka dari Sabah dan Sarawak, juga mencerminkan pandangan politik yang inklusif dan dinamik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Goh juga kagum dengan langkah strategik Muhyiddin yang tidak melantik timbalan perdana menteri dan sebaliknya melantik empat menteri kanan untuk membantunya.
Beliau yakin langkah berkenaan dapat memberikan hasil yang positif bagi Perikatan Nasional (PN) dan negara secara keseluruhannya.
“Pelantikan ahli perbankan terkenal Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai senator bagi memegang jawatan menteri kewangan merupakan satu langkah terpuji yang mencerminkan aspirasi dan tekad kerajaan PN untuk menguruskan jabatan-jabatan kerajaan utama dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata dengan pembentukan Kabinet baharu itu, kerajaan PN boleh bergerak maju untuk meningkatkan ekonomi, terutamanya bagi melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk mengurangkan kesan buruk akibat Covid-19.
Goh, yang juga presiden Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah (FCAS) juga memuji usaha kerajaan untuk merapatkan jurang antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak menerusi pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri, yang diketuai oleh Dr Maximus Ongkili dari Sabah dan Hanifah Hajar Taib dari Sarawak.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lima wakil rakyat Cina yang dilantik menganggotai kabinet iaitu Presiden MCA Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan), Naib Presiden Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Ahli Parlimen MCA bagi Tanjung Piai Dr Wee Jeck Seng (Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) serta Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing (Timbalan Menteri Perpaduan Negara). – Bernama, 10 Mac, 2020.
Komen