Mahdzir minta bantuan Najib pengecualian khas projek solar, kata saksi


Ravin Palanisamy

Saksi dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor memberitahu mahkamah Mahdzir sendiri menulis surat kepada Najib. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Mac, 2020.

BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid secara peribadi meminta Najib Razak memberi kebenaran mengecualikan penyerahan dokumen tertentu bagi projek solar hibrid dan penyelenggaraan genset diesel untuk sekolah di pedalaman Sarawak, kata saksi dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) di bahagian perolehan dan pengurusan aset Kementerian Pendidikan Malaysia Kamarudin Abdullah dirujuk sepucuk surat bertarikh 19 Julai 2017 yang dihantar oleh Mahdzir kepada Najib, yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Najib meluluskan pengecualian tersebut atas kapasitinya selaku menteri kewangan.

Kamaruddin ketika disoal balas peguam bela Azrul Zulkifli Stork berkata surat itu ditandatangani Mahdzir sendiri, dan beliau tidak tahu menahu mengenainya.

Menurut Kamaruddin, Mahdzir didakwa meminta Kementerian Kewangan melepaskan pembayaran interim kepada Jepak Holdings Sdn Bhd bagi kerja-kerja membekalkan diesel kepada sekolah di Sarawak dari Januari hingga April 2017.

Kamaruddin berkata menurut surat anugerah projek kepada Jepak pada 10 November 2016, pengecualian itu disenaraikan dalam salah satu terma kontrak.

Azrul: Surat daripada menteri?

Kamaruddin: Ya. Menteri sendiri yang tulis surat ini. Boleh tengok kepala surat. Surat ini tidak melalui saya.

Azrul: Jadi, kalau bayaran ini tidak dilepaskan, sekolah akan dapat masalah?

Kamaruddin: Ya. Sekolah akan bergelap.

Kamaruddin memberitahu mahkmah, Kementerian Kewangan sejak awal lagi ragu-ragu mengenai cadangan projek solar hibrid tersebut kerana Jepak tidak mematuhi peraturan dan proses kerja. 

Tiada rundingan harga dan penilaian teknikal dibuat sebelum kontrak diberi kepada Jepak, katanya. – 10 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen