DEFISIT kepercayaan terhadap kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) memerlukan ia mengekalkan komunikasi yang baik dengan rakyat dan membuktikan dasarnya adalah inklusif, kata seorang penganalisis.
Defisit kepercayaan di kalangan orang awam boleh difahami disebabkan cara kerajaan itu dibentuk, kata Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim.
“Memandangkan keadaan politik sejak beberapa minggu lalu, difahami ada defisit kepercayaan yang meluas di kalangan orang ramai,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Oleh itu, kerajaan PN perlu menjangkakan pemerhatian lebih teliti daripada rakyat.
“Berkomunikasi dengan baik dan telus dengan orang ramai adalah penting.”
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya telah mempromosikan dasar inklusif dan progresif, tetapi mempunyai komunikasi yang teruk.
PH gagal berkomunikasi dengan jelas, terutamanya kepada kaum Melayu, mengenai isu seperti meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.
Perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad mengakui kelemahan dalam menyampaikan kejayaan dasar PH sebagai punca kejatuhan populariti selepas dipilih menjadi kuasa persekutuan pada Mei 2018.
Bagi kerajaan PN, dengan ahli Parlimen dan menteri daripada rejim lama di bawah Barisan Nasional, serta PAS, ia perlu membuktikan dasarnya adalah inklusif bagi memastikan isu kaum dan agama terkawal.
Satu daripada alasan yang disebut dalam membentuk kerajaan baru melalui pengkhianatan ialah untuk mempunyai kerajaan Melayu-Islam yang lebih kuat.
Tetapi PN tidak boleh membiarkan isu yang sama itu hilang kawalan, kata Amir.
Beliau berkata pelantikan seperti Mufti Wilayah Persekutian Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai menteri hal ehwal agama dan Halimah Sadique daripada Umno yang dilihat lebih “sederhana” sebagai menteri perpaduan negara, percubaan untuk menangani isu perkauman dan agama.
“Kedua-dua jawatan kontroversi ini dan (pelantikan dibuat adalah) langkah ke arah yang betul bagi memastikan suhu sosial diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Seorang lagi bukan ahli politik yang dibawa masuk ke dalam Kabinet ialah tokoh perbankan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi mengawasi portfolio kewangan. – 10 Mac, 2020.
Komen