Majlis Peguam ambil langkah berjaga-jaga menjelang mesyuarat tahunan


Noel Achariam

Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata langkah berjaga-jaga akan dilaksanakan dan mereka yang menunjukkan gejala demam tidak akan dibenarkan masuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

MAJLIS Peguam Malaysia akan mengambil langkah berjaga-jaga berhubung wabak Covid-19  menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka minggu depan.

Presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor memberitahu The Malaysian Insight, mesyuarat akan berlangsung pada 14 Mac di Wisma MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Sebagai langkah berjaga-jaga kakitangan di bangunan akan memeriksa suhu semua ahli dan mereka yang menunjukkan gejala demam tidak akan dibenarkan masuk.

“Korum kami 500 orang, tetapi kami menjangkakan lebih ramai,” kata Fareed.

Sepanjang hujung minggu, kira-kira 250 peguam daripada Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur menjalani pemeriksaan untuk Covid-19 selepas seorang anggotanya, yang menghadiri mesyuarat agung tahunan minggu lalu, positif ujian koronavirus.

Pengerusi Jawatankuasa Harleen Kaur memberitahu The Malaysian Insight ujian itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas seorang ahlinya positif ujian terhadap virus itu selepas mesyuarat pada 27 Februari.

Mereka kemudian berhubung dengan Jabatan Kesihatan bagi mendapatkan protokol yang betul untuk dilaksanakan dan diikuti.

Harleen berkata semua peguam yang menghadiri AGM sudah dipanggil untuk menjalani ujian dan perlu menjalani kuarantin sendiri sehingga 12 Mac

Fareed juga berkata mereka akan menghantar dan memberi nasihat mengenai langkah berjaga-jaga untuk semua ahli hari ini.

Ujian untuk peguam dilakukan ketika negara mengumumkan 117 orang diuji positif virus itu, yang mula muncul di Wuhan, China pada hujung Disember.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 18 kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan keseluruhan kes positif kepada 117 orang.

Beliau berkata semua pesakit yang dikenalpasti sedang menjalani rawatan.

Terdapat peningkatan bilangan jangkitan minggu lepas.

Sehingga semalam, beliau berkata sebanyak 567 sampel diuji dan tiada sampel positif dengan jangkitan Covid-19. 

Tiada kes sporadik Covid-19 dikesan melalui aktiviti pengawasan ini, katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi peraturan Arahan Penyeliaan dan Pemantauan di Rumah.

Virus ini menjangkiti lebih 110,000 orang di lebih 100 negara dengan lebih 3,800 kematian. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen