SPRM perlu siasat menteri Kabinet ikrar sokong Dr Mahathir, kata Fahmi Fadzil


Noel Achariam Diyana Ibrahim

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata wakil wanita dalam Kabinet hanya 13% berbanding Kabinet PH yang menampilkan lebih ramai pemimpin wanita. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat beberapa menteri yang dilantik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR itu berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sudah menyiarkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya pada 29 Februari lalu dan menandatangai akuan bersumpah.

“Kini ada kalangan ahli Parlimen dalam senarai Dr Mahathir yang muncul dalam senarai Kabinet Muhyiddin.

“SPRM perlu menyiasat sama ada sesiapa yang dipujuk bertukar sokongan kerana kedudukan Kabinet yang boleh menguntungkan.

“Jadi senarai itu (Kabinet) sudah keluar. Mungkin SPRM boleh membandingkan senarai Dr Mahathir dan Muhyiddin serta menyiasat mereka ini (menteri),” katanya.

Ditanya tentang jumlah menteri dalam senarai Muhyiddin yang berada dalam senarai Dr Mahathir, Fahmi berkata beliau tidak ingat.

“Mungkin ada tiga atau empat (ahli Kabinet).

“Kesemua 114 ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah. Jadi SPRM perlu menyiasat menteri ini.”

Pada 29 Februari, Dr Mahathir berkata Muhyiddin tidak mempunyai 112 nama yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan.

“Pada masa ini, saya mempunyai 114 ahli Parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri, Saya perlu menyediakan surat kepada Agong untuk menjelaskan perkara ini.

“Saya berharap Agong akan menerima surat dan penjelasan saya,” katanya.

Muhyiddin semalam mengumumkan barisan Kabinet baharu yang tidak mempunyai timbalan perdana menteri, tetapi dibarisi empat menteri kanan.

Kabinet Perikatan Nasional itu melibatkan ahli Parlimen dari Bersatu, Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak selain ahli Parlimen bebas yang mengikut bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Empat menteri kanan itu merupakan Azmin Ali, Ismail Sabri Yaakob, Fadillah Yusof dan Mohd Radzi Md Jidin. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen