BARISAN Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mencerminkan perubahan yang diimpikan rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, kata aktivis Ambiga Sreenevasan.
Antara kebimbangannya adalah agenda pembaharuan yang ditetapkan oleh kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH).
Beliau mempersoalkan sama ada agenda itu akan berakhir dengan pelantikan barisan Kabinet baharu.
“Mungkin jika mereka (Perikatan Nasional) menggesa penubuhan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) dan memansuhkan beberapa akta menindas, saya mungkin berubah fikiran,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insight.
“Namun mengikut firasat saya, parti-parti dalam gabungan baharu ini menentang pindaan tersebut dan saya jangka perkara ini tidak akan berlaku.”
Bekas pengerusi Bersih itu juga kecewa dengan barisan Kabinet baharu itu yang tidak menggambarkan perubahan yang diperjuangkan rakyat.
“Pertamanya, saya mahu katakan barisan Kabinet ini tidak mencerminkan perubahan yang kita mahukan. Jadi maafkan kami jika ada yang tidak menyambut baik barisan Kabinet ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa Kabinet itu tidak mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Saya bimbang tentang nasib masyarakat minoriti dan sama ada perpaduan kita sebagai sebuah negara mungkin terjejas.
“Saya juga tertanya-tanya sama ada kalangan ahli Kabinet layak dan bersih. Mungkin perdana menteri hanya mempunyai beberapa pilihan.
“Perkara yang baiknya mereka yang berdepan kes mahkamah tidak ada dalam barisan Kabinet. Namun kebimbangan saya, juri sudah terkeluar dari Kabinet ini,” kata Ambiga.
Beliau mengulas mengenai barisan Kabinet baharu Muhyiddin yang diumumkan semalam.
Barisan Kabinet itu terdiri daripada 32 menteri dan 38 timbalan menteri dengan melibatkan beberapa muka lama selain kemasukan semula PAS dalam jemaah menteri selepas lebih 45 tahun.
Tiada timbalan perdana menteri dilantik dalam Kabinet baharu ini tetapi ia digantikan dengan empat menteri kanan. – 10 Mac, 2020.
Komen