PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Kabinet yang terlalu besar dengan 70 orang menteri berbanding Pakatan Harapan (PH), kata Fahmi Fadzil.
Pengarah Strategi Komunikasi PKR itu berkata semasa pemerintah PH, hanya 56 menteri yang dilantik dalam barisan kerajaan dengan 28 menteri manakala bakinya menjadi timbalan menteri.
Dalam barisan Kabinet Perikatan Nasional di bawah pimpinan Muhyiddin, terdapat 32 menteri dan 38 timbalan menteri.
“Barisan Kabinet ini terlalu besar dan kita sedang meneliti senarai tersebut dan menterinya.
“Kita boleh lihat wakil wanita dalam Kabinet hanya 13% berbanding Kabinet PH yang menampilkan lebih ramai pemimpin wanita.
“Terdapat 50% wanita di negara ini dan saya tidak pasti bagaimana 13% boleh mewakili golongan itu,” katanya ketika ditemui pada satu mesyuarat Pakatan Harapan di Pusat Kovensyen Sime Derby hari ini.
Petang tadi, Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinetnya yang tidak mempunyai timbalan perdana menteri dengan digantikan empat menteri kanan.
Kabinet Perikatan Nasional mempunyai 32 menteri dan 38 timbalan menteri dari Bersatu, Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak serta ahli Parlimen bebas termasuk bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Empat menteri kanan itu merupakan Azmin (Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa), Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).
Fahmi berkata jumlah kecil wanita dalam Kabinet amat mengecewakan, lebih-lebih lagi sehari selepas sambutan Hari Wanita Sedunia.
Beliau berkata purata menteri dalam Kabinet Muhyiddin berusia lewat 50-an.
Bagaimanapun Fahmi mengulas mengenai pelantikan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Saya fikir beliau adalah mufti yang berfikiran ke hadapan dan saya percaya beliau akan menjadi menteri profesional yang menjaga urusan Islam.” – 9 Mac, 2020.
Komen