6 senator baharu angkat sumpah esok


Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik memegang portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama. – Gambar Facebook, 9 Mac, 2020.

SERAMAI enam senator baharu akan mengangkat sumpah di Dewan Negara, 10 pagi esok, susulan pelantikan mereka menyertai Kabinet hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, S.A. Vigneswaran dalam satu kenyataan menyatakan Majlis Angkat Sumpah mereka adalah selaras dengan Peruntukan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Mereka ialah Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang memegang portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerajui Kementerian Kewangan.

Yang lain ialah Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan I) dan Naib Presiden MCA Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Dr Ahmad Masrizal Muhammad (timbalan menteri alam sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (timbalan menteri belia dan sukan).

“Pelantikan ini mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan perenggan (b) Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan,” kata Vigneswaran. – Bernama, 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen