Najib tidak tahu RM42 juta duit SRC International, kata Apandi


Bede Hong

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Mac, 2020.

BEKAS peguam negara, Mohamed Apandi Ali, memutuskan pada awal 2016 yang Najib Razak tidak mengetahui RM42 juta yang disalurkan ke dalam akaun bank bekas perdana menteri itu adalah daripada SRC International, mahkamah mendengar hari ini.

Ketika disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, saksi berusia 70 tahun itu menjelaskan satu kenyataan akhbar dikeluarkannya pada 26 Januari 2016 yang membersihkan Najib daripada salah laku kes AS$700 juta (ketika itu bernilai RM2.6 bilion) yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi beliau pada 2013.

“Ia adalah pemahaman saya yang beliau tidak tahu mengenai RM42 juta dalam akaunnya. Itulah sebabnya saya tidak mendakwanya,” kata Apandi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya berpuas hati yang wang itu berasal daripada keluarga diraja Arab Saudi, setelah melihat semua fakta dan dokumen,” katanya, sambil menambah beliau berpuas hati dengan proses kelulusan pinjaman bagi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk memberi pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC International.

“Saya tidak menemui bukti menunjukkan perdana menteri (Najib) melakukan sebarang kesalahan atau melakukan apa-apa amalan rasuah. SPRM juga mengakui tiada bukti menunjukkan perdana menteri melakukan sebarang tindakan (rasuah).”

Ketika disoal oleh Shafee mengenai sama ada sesiapa mencadangkan kepadanya bahawa beliau menutup sebarang aktiviti jenayah, Apandi menjawab: “Jawapannya tidak. Saya tidak pernah memberi sebarang arahan mengenai tindakan menutupnya.” – 9 Mac, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen