DUA beg didakwa dipenuhi wang tunai dihantar dari Pavilion Tower ke kediaman rasmi perdana menteri yang ketika itu diduduki Najib Razak pada Disember 2016, kata saksi pada perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor, hari ini.
Saksi pendakwaan kesembilan Ahmed Farriq Zainul Abidin, seorang ahli perniagaan, memberitahu mahkamah yang beliau menemani pembantu Rosmah ketika itu, Rizal Mansor untuk menghantar beg dari Pavilion Tower, Kuala Lumpur ke Seri Perdana, Putrajaya.
Beliau memberitahu mahkamah yang beliau mengenali Rizal sejak 2014 selepas diperkenalkan oleh seorang kawan. Tambahnya, ketika itu beliau mengenali Rizal bukan sahaja sebagai pembantu Rosmah tetapi juga pegawai khas Najib.
Menceritakan apa yang berlaku pada Disember 2016, Farriq berkata beliau dan Rizal sedang berjumpa di Pavillion apabila Rizal menerima panggilan telefon.
Selepas menjawab panggilan itu, Rizal meminta Farriq menemaninya ke Pavilion Tower dan dipersetujui saksi.
Sesampainya di menara itu, Farriq berkata beliau menyedari kehadiran dua atau tiga lelaki tidak dikenali keluar daripada sebuah kereta dan menuju ke lif bangunan.
Ketika itu, Farriq berkata beliau tidak pasti sama ada Rizal mengikuti kumpulan lelaki itu atau mengambil jalan lain, tetapi Rizal naik ke tingkat atas dan beliau menunggu di lobi bangunan.
Selepas 20 minit kemudian, Rizal turun dan memberitahu Farriq yang “ada masalah” dan beliau perlu menghantar beg itu ke Seri Perdana.
Farriq bersetuju mengikut tanpa banyak soal.
Mereka kemudiannya meletakkan beg itu ke dalam kereta Rizal jenis Toyota Alphard dan bergerak ke Putrajaya. – 9 Mac, 2020.
Komen