BAHASA Inggeris, komunikasi dan menyelesaikan masalah antara 15 kemahiran yang dicari oleh majikan terhadap pencari kerja pada hari ini dan masa depan, kata sebuah agensi pasaran pekerjaan terkemuka kerajaan.
Menurut Talent Corp Malaysia, kemahiran tersebut merupakan nilai tambah bagi kelayakan profesional yang diperlukan pekerja dan menjadi tip kepada pemohon pekerjaan.
Selain kemahiran tersebut, Talent Corp mendedahkan bahawa penganalisis data, pereka grafik dan pakar perisian antara pekerjaan yang mengalami kekurangan tenaga yang kritikal.
Mengikut Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) terbaharu yang disiarkan Talent Corp, antara pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi tetapi kekurangan tenaga kerja adalah jurukimpal, guru tadika, pakar kimia dan jurutera mekanikal.
Maklumat semasa pasaran buruh yang dikumpul oleh COL menunjukkan jenis kemahiran yang diperlukan oleh majikan adalah berkaitan dengan komunikasi, kolaborasi dan menyelesaikan masalah.
“Kemahiran ini disenarai pendek dalam data keperluan kemahiran yang diberikan oleh majikan,” kata Talent Corp kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.
“Senarai ini ditapis daripada data yang disediakan oleh majikan yang merangkumi lebih daripada 8,000 kemahiran secara keseluruhan.”
Kemahiran dalam bahasa Inggeris antara paling dicari majikan dengan 32% jawatan yang ditawarkan pekerjaan menyatakan keperluan kepada pemohon supaya memiliki kemahiran itu.
Senarai disusuli dengan kemahiran komunikasi (31%), mahir berbahasa Cina (27%), pakar dalam bidang jualan (15%) dan bekerja secara berpasukan (15%).
Kemahiran merancang dan kepakaran menggunakan Microsoft Office merangkumi 13% peluang pekerjaan yang dibuka, disusuli Microsoft Excel (11%), perakaunan (10%), manakala penyelesaian masalah dan khidmat pelanggan masing-masing (9%).
Keupayaan untuk merancang perbelanjaan belanjawan dan literasi komputer diperlukan dalam 8% daripada semua jawatan kerja diikuti kreativiti dan keupayaan untuk membina hubungan yang efektif (7%).
Selain itu, majikan turut berminat dengan kemahiran mencapai sasaran jualan, kemahiran organisasi, menganalisis dan menyelesaikan masalah, berupaya melakukan pelbagai tugas dan sokongan pentadbiran.
COL disiarkan setiap tahun sejak 2015 dan disediakan oleh Jawatankuasa Pemantauan Kemahiran Kritikal (CSC) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Talent Corp dan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) adalah sebahagian daripada CSC, yang menilai tren pekerja dan ketidakseimbangan kemahiran antara majikan, pekerja, lepasan sekolah dan siswazah.
COL adalah panduan untuk menyelaraskan dasar pembangunan modal insan di institusi pengajian tinggi, sekolah dan institut teknikal dan vokasional, kata Talent Corp.
Bekas Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, COL itu telah diedarkan di sekolah untuk membantu remaja dan ibu bapa memilih kerjaya.
Ia juga akan membantu pelajar, ibu bapa dan pendidik berwaspada terhadap kerjaya yang hilang kerana teknologi revolusi 4.0.
“COL digunakan sebagai sumber maklumat oleh banyak pihak berkepentingan di Malaysia, termasuk penggubal dasar, institusi latihan, institut pengajian tinggi , pencari kerja dan pelajar,” kata Talent Corp.
“Contohnya, COL digunakan oleh institusi pengajian tinggi untuk membangunkan kursus pengajian yang selaras dengan permintaan industri.” – 9 Mac, 2020.
Komen