MODEL fesyen, setiausaha dan juruaudit antara 10 pekerjaan yang mungkin akan lenyap dalam tempoh beberapa tahun lagi ekoran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Sebaliknya, pakar diet, pengusaha hotel dan guru antara pekerjaan yang sukar digantikan dengan robot dan kecerdasan buatan, kata agensi kerajaan dalam mengendalikan pasaran pekerja.
Kewujudan perisian yang semakin meningkat dalam semua industri dan keperluan penglibatan dalam talian menunjukkan bahawa pereka grafik, pakar perisian dan penganalisis data antara jenis pekerjaan mendapat permintaan tinggi.
Menurut Talent Corp Malaysia, ini merupakan gambaran pasaran pekerjaan pada masa kini dan masa depan Malaysia kerana semakin banyak syarikat menggunakan teknologi IR4.0.
Perubahan dan kekangan terhadap karier tradisional antara cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu untuk memastikan pekerja Malaysia berdepan perubahan pekerjaan pada masa depan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi The Malaysian Insight baru-baru ini, Talent Corp mendedahkan pekerjaan yang paling berisiko dan kurang risiko lenyap ekoran kemunculan teknologi.
Talent Corp dan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) merupakan sebahagian Jawatankuasa Pemantauan Kemahiran Kritikal (CSC).
Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk mengkaji trend buruh dan mencatat ketidakseimbangan antara majikan, pekerja, lepasan sekolah dan siswazah.
Jawatankuasa itu, ILMIA dan Talent Corp terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Mereka menghasilkan laporan tahunan bertajuk Senarai Pekerjaan Kritikal yang menyenaraikan kemahiran dan pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan mengalami kekurangan kemahiran. – 9 Mac, 2020.
Komen