Aktivis wanita berarak tuntut keadilan, haram nikah bawah umur


Diyana Ibrahim

Kira-kira 300 aktivis berkumpul di ibu negara untuk perhimpunan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2020.

KEBIMBANGAN mengenai penularan jangkitan Covid-19 tidak menghalang kira-kira 300 aktivis berkumpul di ibu negara bagi perhimpunan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Perhimpunan yang bermula sejak 10 pagi tadi meriah dengan laungan semangat kumpulan wanita dan minoriti yang menuntut hak wanita, kesaksamaan dan keadilan.

Lebih dari itu kumpulan Wanita Orang Asli juga dilihat tidak ketinggalan dalam perhimpunan itu yang menuntut hak mengiktiraf tanah adat.

Kumpulan aktivis ini memulakan berarak selama kira-kira 10 minit dari kawasan pusat belah belah Sogo bermula jam 10.30 pagi menuju ke Dataran Merdeka.

Semasa perarakan kumpulan peserta dilihat melaungkan, “Haramkan Nikah Bawah Umur”, “Hentikan Keganasan”, “Pelajar bukan Pengantin” dan “Gaji Adil, Mampus Patriaki” sambil membawa sepanduk.

Aktivis wanita berhimpun di Dataran Merdeka dan membawa sepanduk memperjuangkan hak wanita serta membantah perkahwinan bawah umur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Mac, 2020.

Kumpulan itu seterusnya berhimpun semula di Dataran Merdeka dan beberapa pemimpin NGO berucap, termasuk Pengarah Eksekutif Sisters In Islam SIS Rozana Isa.

Rozana berkata biarpun negara sudah merdeka selama 62 tahun tapi masih tidak merdeka dari patriaki, pemikiran sempit, dan juga undang-undang supaya perempuan akur dan tunduk kepada lelaki.

“Undang-undang lawan diskriminasi adalah penting. Untung setiap orang yang lain dari kita.

“Kita mahu masyarakat Malaysia angkat kesaksamaan  untuk semua yang di bumi Malaysia,” katanya.

Perhimpunan yang berlangsung dengan aman itu berakhir tepat jam 1 petang.

Sementara itu, penganjur perhimpunan Juana Jaafar berkata acara itu tidak diwakili oleh NGO sebaliknya atas dasar kapasiti aktivis.

Juana berkata mereka juga terpaksa tidak mendedahkan nama aktivis yang berucap  atas faktor keselamatan.

Beliau berkata ia susulan daripada insiden tahun lepas, apabila peserta perhimpunan dikecam teruk di laman sosial.

“Sebab setiap kali perhimpunan  akan berjalan dengan aman namun bila peserta pulang mereka akan kena serang di media sosial, ini masalah yang sangat besar.

“Memang semasa perhimpunan kita dibantu polis berjalan dengan aman namun bila kita bercakap keganasan di media sosial polis tak buat apa,” katanya.

Tambahnya lagi biarpun banyak aduan telah dibuat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia namun masih tiada sebarang tindakan dilakukan.

“Setiap kali kita bercakap pasal keganasan tapi keganasan di media sosial tidak ada siapa yang kisah.

“Serangan siber kepada peserta adalah kebenaran sebenar apabila kita bersama dengan semangat berkumpul di sini namun bila kita balik, neraka di laman sosial,” katanya. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen