Rangkuman bicara SRC: Latheefa pertahan tindakan dedah perbualan Najib 


Bede Hong

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mempertahankan tindakannya mendedahkan rakaman audio perbualan individu berprofil tinggi pada sidang media 8 Januari lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

BEKAS ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mempertahankan tindakannya mendedahkan sembilanrakaman audio individu berprofil tinggi, termasuk Najib Razak dan mengatakan ia adalah kepentingan awam.

Latheefa yang meletakkan jawatan sebagai ketua SPRM minggu lalu, memberitahu mahkamah bahawa beliau mahu menunjukkan contoh terhadap cubaan menutup aktiviti jenayah oleh peguam negara atau individu daripada Pejabat Perdana Menteri atau SPRM pada masa akan datang.

Adalah tanggungjawab saya untuk tunjukkan (kepada mereka), agar masyarakat umum tahu AG, atau PMO atau SPRM tidak boleh lagi terlibat dalam kesalahan seperti mendedahkan maklumat rahsia, mengubah atau memalsukan bukti untuk mengelakkan daripada didakwa,” katanya ketika diperiksa balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah minggu lalu.

Rakaman audio yang didedahkan kepada umum pada sidang media 8 Januari lalu, melibatkan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifly Ahmad yang merupakan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara ketika itu, ahli Parlimen Umno Azeez Abdul Rahim dan juga putera mahkota Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan yang didakwa cuba memanipulasi maklumat berhubung 1Malaysia Development Berhad dan SRC Inetrnational.

Latheefa berkata, beliau mengetahui tentang rakaman itu pada 3 Mac, selepas sembilan pemacu pena dikirimkan dalam satu sampul surat ke kediaman pegawai khas SPRM Ahmad Nizam yang merupakan pembantu kepada timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (operasi) Azam Baki.

Latheefa, yang disepina untuk beri keterangan sebagai saksi pembelaan berkata, beliau tiada kuasa untuk menentukan ketulenan ramakan berkenaan.

Ketika ditanya oleh Shafee, Latheefa bersetuju bahawa rakaman berkenaan mungkin tidak diterima sebagai bukti di mahkamah kerana gagal memenuhi syarat sejarah, sumber dan ketulenan.

Untuk dijadikan sebagai bukti, peguam perlu menunjukkan bagaimana rakaman itu dibuat, kronologi pemilikan dan perlu dipastikan ia tidak diubah.

Beliau bagaimanapun berkata, kandungan rakaman itu boleh digunakan untuk siasatan yang boleh membawa kepada bukti salah laku lain. Tambahnya isu ketulenan akan ditentukan oleh polis kerana rakaman itu diserahkan kepada mereka.

SPRM tidak siasat Putera Saud

Pegawai penyiasat SPRM Fikri Ab Rahim memberi keterangan bahawa pasukan penyiasat SPRM yang terdiri daripada lima anggota telah ke Riyadh pada 29 Nivember, 2015 dan mengadakan pertemuan dengan putera Arab Saudi yang didakwa menandatangani empat surat pengesahan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi kepada Najib. Pasukan itu bagaimanapun gagal mendapatkan jawapan daripada putera terbabit.

Pasukan berkenaan cuba menyoal Putera Saud AbdulAziz Majud Al Saud, yang mana identitinya disahkan pasukan penyiasat melalui pasportnya. Bagaimanapun, pasukan berkenaan hanya mampu menyoal wakil yang dilantik putera berkenaan iaitu seorang peguam bernama Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, yang memberi keterangan bagi pihak putera terbabit. – 8 Mac, 2020.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen