USAHA-usaha pembersihan selepas benjana banjir terburuk dalam 30 tahun di Pulau Pinang kini hampir selesai. Pihak berkuasa tempatan berkata kehidupan puluhan ribu penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing diharapkan akan kembali seperti biasa pada penghujung minggu ini.
Lebih 12,500 orang dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air dalam banjir kilat awal bulan ini, hingga memaksa mereka tinggal di pusat pemindahan banjir sementara menunggu paras air turun dan kerja-kerja pembersihan dimulakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Chow Kon Yeow berkata kerja-kerja pembersihan hampir 70% selesai dan akan siap dalam minggu ini kerana hanya tinggal beberapa lagi kawasan yang perlu dibersihkan.
Bagi tanah besar Seberang Prai, kira-kira 30% lagi kawasan terjejas yang perlu dibersihkan.
“Kami akan pastikan tahap kebersihan akan kembali seperti biasa dalam tempoh seminggu,” Kata Chow pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Pulau Pinang memulakan kerja-kerja pembersihan sejak minggu lepas dengan bantuan 10,000 sukarelawan dari seluruh negara, bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).
Chow berkata antara 5 November hingga semalam, sebanyak 9,389 tan sisa banjir telah dibersihkan.
“Sekarang, cabaran utama ialah untuk memindahkan sisa dari tapak pelupusan sementara ke tapak pelupusan kekal, memantau tahap kebersihan penduduk setempat bagi mengelakkan penyakit berjangkit dan menghapuskan sebarang gangguan yang penduduk hadapi,” katanya. – 13 November, 2017.
Komen