Kerajaan rapuh, Muhyiddin tertekan jadi PM, kata pemimpin Pakatan


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail percaya Muhyiddin Yassin kini resah selepas mengkhianati pemimpin PH dan juga pengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin kini tertekan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai perdana menteri kerana kedudukan kerajaannya yang rapuh dan tahap kesihatannya kurang memuaskan, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu ceramah malam tadi, bekas menteri PH berkata mereka percaya Muhyiddin menunggu masa digulingkan dari jawatan perdana menteri itu oleh sekutu baharunya, Perikatan Nasional.

Pemimpin DAP Anthony Loke berkata, PAS dan Umno mengharapkan pilihan raya umum diadakan dan tidak akan membiarkan Muhyiddin berkuasa terlalu lama.

“Matlamat mereka bukan nak Muhyiddin lama-lama (jadi perdana menteri), mereka nak buat pilihan raya semula. Mereka nak menang dan tubuh kerajaan, Umno akan jadi perdana menteri semula.

“Bayangkan nak tunggu tiga tahun lagi,  Muhyiddin dah kuat…kita juga nak kena bersiap sedia, pilihan raya akan diadakan semula.

“(Kita) tak boleh kita ketepikan pilihan ini,” kata bekas menteri pengangkutan itu dalam ceramah Jelajah Harapan di hadapan kira-kira 400 penyokong PH di Klang malam tadi,

Loke juga berkata, Muhyiddin juga menjadi perdana menteri dengan kedudukan kerajaan yang rapuh kerana bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya tidak jelas.

“Mereka tiada majoriti, hanya bergantung kepada beberapa ahli Parlimen Bebas daripada Sabah dan Sarawak, kedudukan mereka sangat rapuh,” kata setiausaha organisasi DAP itu.

Selain itu, Muhyiddin juga tertekan untuk menjalankan jawatan perdana menteri kerana imejnya buruk di mata pengundi dianggap pengkhianat, kata seorang lagi pemimpin PH, Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam ucapan di ceramah sama, setiausaha agung PKR itu berkata beliau percaya Muhyiddin kini resah selepas mengkhianati pemimpin PH dan juga pengundi

“Sekarang beliau perdana menteri, yang pertama beliau berhempas pulas melawan persepsi pengkhianat.

“Walau diolah macam mana pun skrip, ia sudah melekat dalam kepala – ini era gelap tiada batasan pengkhianatan dan beliau bergelut dengan persepsi khianat.

“Ini cabaran nombor satu Muhyiddin dan akan mengambil masa untuk dijernihkan,” kata Saifuddin lagi.

Selain itu, Muhyiddin juga perlu menyeimbangkan kedudukan anggota Kabinetnya dan perlu membuktikan pentadbiran kerajaannya berbeza daripada pentadbiran PH.

Satu lagi tekanan dihadapi Muhyiddin adalah tahap kesihatan pesakit kanser itu yang kurang memuaskan, kata Saifuddun yang juga bekas bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Katanya Mujyiddin sering cuti sakit ketika menyertai Kabinet Dr Mahathir Mohamad dan tidak menghadiri mesyuarat jemaah menteri yang diadakan pada Rabu setiap minggu.

“Kalau sebulan kami mesyuarat pada Rabu setiap minggu, ada empat kali dalam sebulan, beliau hanya datang seminggu, tiga minggu lagi cuti sakit.

Beliau merupakan pesakit kanser, baru pulih rawatan penyakit kanser. Saya masih ingat Muhyiddin sering ambil cuti sakit, pernah dalam sebulan datang sekali sahaja.

“Kalau dah kedudukan kesihatan macam itu, ambil jawatan perdana menteri dengan tekanan beliau pesakit kanser, simpati saya kepada beliau,” kata Saifuddin dalam ucapannya.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapannya menyatakan ikrar PH untuk menuntut kembali kerajaan melalui saluran undang-undang.

“Kita akan berusaha melalui jalan undang-undang. Kalau mereka rasa mereka kuat, rasa yakin tak apalah bubar Parlimen.

“Kalau kami menang kami ambil alih, kerajaan, kalau Barisan Nasional (BN) kalah sedia jadi pembangkang semula,” katanya.

Tambahnya, dengan kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, BN tidak seharusnya membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

“Kalau hebat sangat kenapa tak tunggu lima tahun. Kita pemilih demokrasi. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang dan Perlembagaan,” katanya lagi.

Jelajah Harapan malam ini adalah siri penerangan pertama dilakukan PH seminggu selepas Muhyiddin mengangkat jawatan perdana menteri dengan sokongan PAS dan BN dalam gabungan baharu Perikatan Nasional.

Pelantikan itu menamatkan krisis politik yang berlarutan selepas puak kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali keluar parti dan Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH.

Tindakan tersebut menyebabkan kerajaan Dr Mahathir terbubar apabila ahli Parlimen itu mengumumkan meletak jawatan perdana menteri kerana kerajaannya tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Walaupun Muhyiddin berjaya membentuk kerajaan dan dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, PH mendakwa mereka mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Muhyiddin hingga kini masih belum mengumumkan barisan Kabinetnya, malah sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada Isnin ini juga ditunda ke 18 Mei hadapan, seminggu sebelum Hari Raya Puasa. – 8 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen