Hubungan Malaysia-Singapura dijangka lebih baik di bawah Muhyiddin


Sheridan Mahavera

Muhyiddin Yassin mengangkat sumoah sebagai perdana menteri Malaysia ke-8 pada 1 Mac lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020.

HUBUNGAN antara Malaysia dan Singapura dijangka akan lebih baik selepas Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri, kata penganalisis dan bekas diplomat.

Pertikaian berlarutan antara kedua-dua negara jiran itu, seperti perjanjian air Malaysia-Singapura 1962 juga dijangka akan diselesaikan selepas perdana menteri baharu Muhyiddin Yassin mendapat kuasa.

Malah projek tergendala seperti Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, juga dijangka akan disemak semula untuk diteruskan.

“Hampir semua perdana menteri selain Dr Mahathir levih cenderung untuk mempunyai kerjasama dengan Singapura, dan Muhyiddin tidak terkecuali,” kata Felo kanan Singapore Institute of International Affairs (SIIA), Dr Oh Ei Sun.

Sementara itu, bekas duta Dennis Ignatius berkata, di bawah pentadbiran Dr Mahathir, hubungan dengan Singapura sentiasa dirumitkan dengan kesilapan, permusuhan peribadi dan sejarah.

“Beliau sentiasa bimbang dan syak wasangka bahawa Singapura mengambil kesempatan terhadap kesusahan dalaman Malaysia, atas sebab yang baik, seseorang itu akan mempertikaikan,” kata Ignatius yang berpengalaman selama 36 tahun mengenai hal ehwal luar.

Dr Mahathir menaruh syak wasangka bahawa Singapura telah mengambil kesempatan atas masalah bekas perdana menteri Najib Razak dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tambah Ignatius.

Skandal itu mempunyai kaitan dengan Singapura berikutan sebahagian daripada dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB disalurkan menerusi bank di negara republik itu.

Beberapa pegawai bank dipenjara dan didenda oleh pihak berkuasa kewangan Singapura kerana pengubahan wang haram dan melakukan penipuan berkaitan 1MDB.

Dr Mahathir mengesyaki Singapura menggunakan skandal itu bagi mendapatkan syarat yang lebih memihak kepada mereka dalam projek HSR, kata Ignatius.

Apabila Dr Mahathir berjaya menewaskan Najib pada pilihan raya umum 2018, kerajaan bawah pentadbirannya menggantung HSR dengan harapan ia akan dirunding semula dari segi syarat dan harga.

“Membangkitkan semula isu air dan pertikaian ruang udara hanya cara untuk menunjukkan beliau tidak gembira malah turut memberi tekanan kepada Singapura,” kata Ignatius.

Terus ke hadapan

Sebelum kejatuhan kerajaannya, pentadbiran Dr Mahathir telah menekan Singapura untuk merunding semula syarat perjanjian air 1962 iaitu harga bekalan air mentah yang dibayar oleh negara republik itu kepada Malaysia sebanyak 3 sen segelen.

Singapura menegaskan bahawa Malaysia telah memberikan hak untuk mengkaji semula harga pada tahun 1980-an.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas menjatuhkan kerajaan Pakatan seminggu sebelum itu menerusi pengkhianatan 30 ahli Parlimen.

Sementara itu Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan ketika mengulas mengenai kenaikan Muhyiddin berkata, Singapura yakin ia akan membawa “hubungan yang membina, saling menguntungkan” dengan Malaysia di bawah pentadbiran perdana menteri baharu.

Balakrishnan turut menyatakan projek seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura ditangguhkan susulan pilihan raya pada Mei 2018.

Walaupun Singapura boleh menguatkuasakan hak undang-undangnya dan mendapatkan ganti rugi penuh dari Malaysia, ia memilih untuk menggantung kedua-dua projek melalui perjanjian formal dan memberi masa jirannya untuk mengkaji semula kedudukannya dan mencadangkan pindaan dalam semangat “kerjasama dua hala konstruktif”.

Dalam pada itu, Oh dari SIIA percaya beberapa projek seperti HSR tidak mungkin akan diteruskan melainkan kerajaan mampu membiayainya.

“Muhyiddin tidak mungkin menentang Singapura atau sesetengah negara asing lain. Semua projek itu hanya tertunda kerana masalah harga belum selesai, jadi apabila mendapat harga yang betul mereka akan teruskan.”

Projek HSR dianggarkan bernilai antar RM50 hingga RM60 bilion ketika ia mula diumumkan di bawah pentadbiran Najib Razak pada 2013.

Bagaimanapun, Pakatan mahu skala projek itu dikecilkan dan kos projek berkenaan dikurangkan.

Ignatius menjangka Muhyiddin akan meneruskan projek berkenaan.

“Sebaik sahaja Muhyiddin memegang jawatan itu, saya jangkakan hubungan kedua-dua negara akan terus ke depan dan projek HSR akan diteruskan. Lagipun, Johor dan Singapura sentiasa mempunyai hubungan simbiotik,” kata Ignatius.– 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen