RUNTUHNYA pentadbiran Pakatan Harapan dan diganti dengan gabungan baharu Perikatan Nasional adalah berita gembira untuk orang Melayu, kata pengundi di kawasan Parlimen Nibong Tebal, sebuah kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman adalah antara pendukung gabungan baharu itu selepas bertindak keluar PKR untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Beberapa pengundi di Nibong Tebal memberitahu The Malaysian Insight, mereka yakin pentadbiran Muhyiddin daripada gabungan Bersatu, Umno, dan PAS akan memastikan kepentingan serta hak Melayu dan Islam terjaga.
Zamri Mat Nan, 50, anak jati Sungai Acheh memberitahu sejak layak mengundi 30 tahun lalu, beliau tidak pernah memangkah parti lain selain Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya umum 2018 pun begitu – beliau mengundi calon BN Shaik Hussein Mydin, yang bagaimanapun kalah kepada Mansor.
Namun beliau gembira apabila dapat tahu Mansor melompat parti bersama lapan ahli Parlimen yang lain, mengikut bekas timbalan presiden PKR yang dipecat Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin.
“Ketika mendengar Mansor Othman lompat dan menyertai PN, saya anggap ia satu khabar yang baik untuk seluruh orang Melayu.
“Lebih-lebih lagi kini mereka yang menjadi kerajaan majoriti adalah ahli Parlimen Melayu.
“Saya yakin isu menghina Agong, Melayu dan Islam sudah tidak ada lagi kerana suara kaum lain tidak kuat seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di sebuah warung di Kampung Sungai Star Kecil, terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

Zamri juga bangga dan puas hati apabila Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan, menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
“Muhyiddin dilantik oleh Yang-diPertuan Agong. Sama ada Muhyiddin dapat sokongan majoriti atau tidak, Agong mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri.
“Walaupun kerajaan baharu ini bukan datang daripada pilihan raya, ia adalah pilihan Agong, iaitu institusi Raja-Raja Melayu kita,” tambahnya.
Pengkhianat
Namun tidak semua melihat kemelut politik bermula pada 24 Februari sebagai sesuatu yang menguntungkan.
Aziah Hamid, 53, misalnya marah bercampur sedih dengan tindakan Mansor. Beliau merasakan Mansor mengkhianati pengundi yang memilih Pakatan Harapan lebih 20 bulan lalu.
“Kami berkempen untuk PKR sejak 1999 di cabang Nibong Tebal. Hingga Mansor bertanding, kamilah yang buat program, berkempen dan jadi perayu undi untuk menangkan PKR.
“Kami daripada jentera parti tak dapat apa-apa jawatan,” katanya.
Mansor bertanding kerusi parlimen itu mulai pilihan raya umum 2013, dan mempertahankan kemenangannya pada 2018.
“Saya tidak sangka dia sanggup keluar parti untuk bersama UMNO dan PAS.
“Dia khianati pengundi-pengundi disini,” kata pemilik warung di Sungai Acheh itu.

Sebelum jadi ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor adalah wakil rakyat mewakili DUN Penanti yang dimenanginya melalui pilihan raya kecil pada 2009.
Bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) itu kemudian dilantik sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang sehingga tahun 2013.
Kerusi Parlimen Nibong Tebal adalah kawasan BN sejak diwujudkan pada 1974. BN pernah sekali terlepas kerusi itu kepada DAP pada 1999 tetapi merampasnya semula pada 2004.
Namun sejak 2008, kerusi itu dikuasai oleh PKR.
Mengikut data pilihan raya umum lalu, Nibong Tebal adalah kawasan campuran majoriti pengundi Melayu (48%), diikuti Cina (35%) dan India (17%).
Kawasan parlimen ini mempunyai tiga kawasan negeri iaitu Jawi, Sungai Bakap, dan Sungai Acheh. Ketiga-tiga kerusi itu diwakili oleh PH. Kawasan Sungai Bakap dan Sungai adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.
Seorang nelayan di Sungai Bakap, Shamsudin Yahaya, 45, berharap gabungan baharu yang dibentuk oleh parti-parti politik Melayu akan dapat mengotakan janji membantu ekonomi orang Melayu.
Beliau berharap Perikatan Nasional yang disertai Umno dan PAS akan menangani isu-isu yang mereka kritik semasa PH menjadi kerajaan sebelum ini.
“Ketika PH sebagai kerajaan, beberapa bantuan khas untuk nelayan dikurangkan. Walaupun masih ada, jumlah itu tidak cukup.
“Bagi kami nelayan, bantuan seperti subsidi minyak, pukat dan musim tengkujuh perlu kekal dan ditambah baik.
“Potong sikit pun, pendapatan kami terjejas teruk sebab hasil kami makin sedikit, dapat satu kilo sehari pun susah,” tambahnya.

Elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 sebulan semasa BN mentadbir di Putrajaya dikurangkan kepada RM200 sebulan dalam Belanjawan 2019. Ia dinaikkan kepada RM250 untuk tahun ini.
Rahiman, seorang pekerja kilang, turut berharap Perikatan Nasional akan menambah baik ekonomi masyarakat Melayu.
“Apabila PH memerintah, hibah Tabung Haji dan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) antara yang terendah direkodkan,” katanya, yang juga bekerja sebagai nelayan sungai secara sambilan.
“Mungkin mereka ada alasan, tapi kami rakyat bosan dengar alasan itu kerana yang terjejas adalah kaum Melayu.
“Sebab itu, PN ini adalah gabungan yang ditunggu-tunggu kaum Melayu.
“Dividen ASB, hibah Tabung Haji, dan inisiatif untuk ekonomi orang Melayu saya yakin mereka akan baiki,” jelasnya. – 8 Mac, 2020.
Komen