KERAJAAN mempertahankan amalan memakaikan baju lokap terhadap suspek yang direman memandangkan ia mengikut Seksyen 97 Akta Polis.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengatakan pemakaian baju tersebut tidak memberikan kemudaratan kepada suspek.
“Kuasa untuk menentukan jenis dan warna pakaian diputuskan mengikut seksyen 97 Akta Polis yang membenarkan Ketua Polis Negara mengeluarkan perintah-perintah pentadbiran bernama “Perintah Tetap” yang tidak berlawanan dengan akta ini untuk kawalan dan arahan dan maklumat am pasukan dan semua badan yang ditubuhkan atau didirikan untuk menjalankan tugas-tugas polis dibawah akta ini.
“Selaras dengan kehendak ini, arahan Ketua Polis Negara A118 dan Arahan Pentadbiran Bilangan 16 bertarikh 2 September 2009 telah dikeluarkan bagi memperincikan pengurusan lokap dan pakaian semasa tahanan.
“Pemakaian baju khas untuk tahanan semasa dalam lokap polis telah direka bentuk bagi memastikan orang tahanan diberikan pakaian sesuai mengikut piawaian ditetapkan, tidak mendatangkan kemudaratan kepada tahanan itu sendiri atau boleh mendatangkan bahaya kepada tahanan lain semasa dalam kurungan,” kata KDN menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran.
N.Surendran bertanyakan adakah kementerian bercadang untuk menghentikan amalan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis yang membawa tahanan reman (belum disabit hukuman) ke mahkamah memakai baju lokap masing-masing berwarna jingga dan ungu.
Bagaimanapun, jawapan tersebut menurut N.Surendran yang juga peguam bercanggah dengan Perlembagaan.
“Ikut undang-undang dibawah Perlembagaan setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibukti bersalah dimahkamah. Jadi, bermakna setiap suspek tidak bersalah, walaupun diberkas dan ditahan SPRM atau PDRM.
“Malah Seksyen yang diberikan adalah satu kuasa am yang tidak menyebut secara spesifik apa-apa kuasa untuk memaksa suspek memakai lokap. Ia tidak relevan.
“Ia juga bercanggah kerana mengikut Prosedur Kualiti Pengurusan Lokap, Bukit Aman yang dikeluarkan 1 Julai 2014 mengatakan bahawa suspek reman tidak boleh dibawa ke mahkamah dengan memakai uniform lokap,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Peguam itu pada Ogos lalu menggesa pihak berkuasa menghentikan paksaan ke atas tahanan mengenakan uniform lokap ketika pendengaran perintah reman kerana ia melanggar undang-undang dan boleh mengundang saman sivil.
Beliau merujuk kepada dua penahanan kes berprofil tinggi ke atas exco Pulau Pinang Phee Boon Poh dan bekas pengerusi Felda Isa Samad yang dibawa ke mahkamah dengan mengenakan pakaian lokap SPRM berwarna jingga.
Surendran juga menyatakan Peraturan Penjara Peraturan 168 yang wajib bagi pihak berkuasa penjara untuk membenarkan tahanan yang belum diputuskan bersalah memakai pakaian mereka sendiri. – 13 November, 2017.
Komen