APABILA Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk Putrajaya pada Mei 2018, ia mengisi tempat empat menteri kanan hanya tiga hari selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.
Tetapi, Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mahu “menyelamatkan negara daripada PH” masih lagi belum mengumumkan senarai Kabinet mereka walaupun sudah berkuasa hampir seminggu.
PN yang mengecam pemimpin PH yang didakwanya tidak pandai mentadbir juga berhubungan dengan bekas menteri pentadbiran terdahulu untuk membantu mereka.
Memburukkan keadaan adalah apabila wakil rakyat Bersatu di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka nampaknya tidak sependapat dengan pemimpin pusat dan kerajaan PN.
Wakil rakyat Bersatu di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor masih mengekalkan sokongan kepada PH walaupun parti mereka sudah keluar daripada kerjasama politik itu.
Bagaimanapun di Melaka, dua Adun Bersatu diketepikan kerajaan PN walaupun mereka membentuk kerjasama di peringkat persekutuan.
Penganalisis politik berkata petanda ini memberikan beberapa petunjuk tentang PN:
* bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sukar membentuk Kabinet dengan pemimpin berintegriti seperti mana janjinya dalam ucapan rasmi pertamanya.
* bahawa Umno dan bukannya Bersatu yang merupakan parti Muhyiddin, adalah parti dominan kerajaan.
* bahawa Bersatu yang bersekongkol dengan kerajaan PN, sebenarnya sedang berpecah dalam cara dan kaedah perpecahan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.
* bertentangan dengan dakwaannya terhadap PH, kerajaan PN sebenarnya lebih tidak stabil.
“Muhyiddin menjerat dirinya sendiri dalam ucapan pertamanya sebagai perdana menteri,” kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.
“Beliau mahukan kerajaan dengan pemimpin yang bersih dan berintegriti tinggi tetapi dia tak ada banyak pilihan kerana Umno adalah parti terbesar dalam kerajaan,” kata Mazlan merujuk kepada 39 kerusi Parlimen yang dipegang parti nasionalis Melayu itu.

Kebanyakan pemimpin kanan Umno kini sedang disiasat kerana pelbagai kesalahan jenayah termasuklah penipuan, rasuah, pecah amanah dan korupsi, yang dilakukan mereka ketika dalam kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Antara pemimpin itu termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas ketua penerangan Ahmad Maslan dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.
“Akhirnya, PN juga adalah gabungan parti yang berbeza ideologi. Ada yang okay dengan integriti dan ada yang tak okay. Bukan seperti PH yang semua orang komited untuk integriti,” kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia.
“Ini menjadikan PN rapuh dan wujud kemungkinan untuk tumbang,” kata Mazlan lagi.
Perikatan yang rapuh
Kerajaan Muhyiddin dibentuk oleh perikatan parti yang dikenali kerana komitmen mereka terhadap politik identiti seperti Umno dan PAS.
Kedua-dua parti itu yang membentuk Muafakat Nasional menyumbang 37 kerusi untuk kerajaan PN.
Berbanding parti Muhyiddin, Bersatu, yang hanya mempunyai 30 kerusi.
“Umno dan PAS ada kelebihan rundingan terkuat. Muafakat Nasional mereka boleh mengugut untuk menarik balik sokongan sekiranya sokongan untuk (mendapatkan jawatan) kementerian tertentu tidak dipenuhi,” kata Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula.

Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari PH pada 24 Februari lalu, tindakan yang menyebabkan tumbangnya kerajaan yang hanya berusia 22 bulan itu.
Tetapi, nampaknya bukan semua wakil rakyat Bersatu menyokong keputusan Muhyiddin dan ia terbukti apabila perwakilan mereka di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mengumumkan mereka masih bersama dengan PH.
Di Melaka, wakil Bersatu malah tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan PN negeri yang diketuai Umno.
Pada peringkat persekutuan, PN juga dilaporkan mula memujuk tokoh utama PH seperti Dr Dzulkefly Ahmad untuk kembali memegang jawatan Kabinet mereka.
“Apa yang berlaku di Selangor dan Melaka menunjukkan pertikaian dalaman dan antara parti wujud dan boleh menyebabkan ketidakstabilan,” kata Tunku Mohar.
Walaupun PN berusaha menggambarkan gabungan itu kukuh, realiti sebenar tidak sebegitu, tambahnya.
“Pemimpin Umno dan PAS sudah mula bercakap seolah-olah mereka sudah berada dalam kerajaan.”
Sehari selepas “seruan integriti” dilontarkan Muhyiddin, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menerusi Twitternya memberikan amaran ulung: PN bakal tumbang jika gagal menyatukan idealisme perdana menteri dan aspirasi parti gabungan itu.
“Sekiranya tidak diuruskan dengan baik, percayalah PN akan memecahkan rekod PH sebagai kerajaan paling singkat!
“Apa-apa pergolakan kali ini bererti Parlimen wajib dibubarkan dan PRU mengejut wajib diadakan.
Muafakat Nasional akan kita perkasakan dan kami tidak lalai dengan kuasa yang ada sekarang,” tulisnya. – 7 Mac, 2020.
Komen