BERSATU Perak akan mencalonkan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin sebagai menteri besar baharu sekiranya Ahmad Faizal Azumu dilantik dalam barisan Kabinet, kata sumber parti.
Sumber Bersatu Perak menyebut, nama Zainol sebagai calon alternatif itu hanya cadangan kerana pelantikan menteri besar Perak dijangka hanya dimuktamadkan selepas Kabinet selesai dibentuk.
“(Perdana menteri) Muhyiddin mungkin minta Faizal bantu beliau di Putrajaya. Sebab itu parti letak calon alternatif Zainol,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun kata sumber, ini masih lagi cadangan di peringkat parti dan tiada sebarang nama calon diserahkan kepada Sultan Perak oleh mana-mana parti.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Zainol yang pernah mengetuai sayap Pemuda Umno Perak bertanding sebagai calon Barisan Nasional. Beliau menang dan melompat keluar parti tiga hari kemudian untuk menyokong Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan dilantik sebagai penasihat khas kepada menteri besar Perak. Zainol kini setiausaha Bersatu Perak.
Selepas Bersatu keluar daripada PH pada 24 Februari lalu, kerajaan PH Perak juga dijangka mengikut hala tuju perubahan di Putrajaya.
Sebelum kemelut politik akhir Februari lalu, Pakatan Harapan mempunyai 30 kerusi di Dun Perak termasuk 2 wakil Bersatu iaitu Faizal dan Zainol. BN dan PAS mempunyai 28 kerusi, sementara seorang wakil rakyat bebas tetapi menyokong PH.
Dengan perubahan politik baru-baru ini, Perikatan Nasional mempunyai 31 kerusi berbanding PH 28.
Kedudukan menteri besar bagaimanapun belum jelas kerana BN juga dilaporkan ingin mengemukakan Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, yang juga Adun Kota Tampan, sebagai calon menteri besar.
Sumber berkata, Umno membuat tuntutan itu berdasarkan faktor bahawa parti itu mempunyai kerusi Dun terbanyak.
Ia bagaimanapun sedang diusaha untuk dirunding semula kerana Umno sudahpun kembali menguasai Johor, kata sumber.
“Kalau ikut jumlah kerusi memang Umno ada banyak kerusi Dun tetapi Umno sudah dapat Johor. Melaka pun belum selesai lagi.
“Tidak wajarlah hendak ambil Perak juga. Menang-menanglah,” kata sumber.
Sumber turut mendedahkan seorang adun DAP juga dijangka akan turut bersama menyokong Perikatan Nasional di Perak.
“Seorang adun DAP akan bersama kita, bukan (Adun Tebing Tinggi) Aziz Bari,” katanya yang enggan menamakan individu tersebut.
Kejatuhan PH sebagai kerajaan persekutuan menyebabkan Johor kembali ke tangan Umno dan pengerusi Umno negeri Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-18.
Adun Benut itu menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu selepas 11 Adun Bersatu menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional.
Barisan Nasional Melaka semalam mengumumkan tidak lagi bekerjasama sama dengan dua Adun Bersatu namun boleh membentuk kerajaan kerana mempunyai majoriti tipis selepas seorang Adun DAP dan seorang Adun PKR menyokong Perikatan Nasional. – 6 Mac, 2020.
Komen