SEDEKAD lalu, Mageswari dan Khatijah ialah dua ibu tunggal tinggal di kawasan perumahan awam yang teruk di tengah ibu kota Kuala Lumpur dan cukup-cukup makan untuk menampung kehidupan anak-anak mereka.
Hari ini, anak mereka graduan dengan ijazah dari universiti dan kerja dengan gaji besar untuk memindahkan keluarga keluar dari rumah pangsa kotor itu, atas bantuan program sokongan masyarakat.
Program masyarakat yang berjaya seperti itu banyak membantu Mageswari dan Khatijah dalam pelaburan jangka panjang dalam bentuk tenaga, masa dan wang serta memerlukan individu yang berdedikasi bebas dari pilih kasih, kata pekerja komuniti Jasmine Adaickalam.
Projek perumahan awam atau lebih popular dipanggil “PPR” ialah salah satu daripada cara kerajaan membantu rakyat Malaysia termiskin mendaki tangga sosial.
Pada masa ini terdapat lebih 102,000 unit di 19 projek di seluruh negara dan kerajaan bercadang untuk membina 606,000 unit menjelang 2020.
Adaickalam berkata program atau “campur tangan sosial” amat diperlukan bagi memastikan projek perumahan awam menepati sasaran.
Elemen itu kadangkala dilupakan atau diabaikan oleh ahli politik dan badan korporat yang menjadi sumber utama mendanai program seperti itu, katanya.
Apabila keadaan itu berkata, projek PPR terbiar tanpa program berkesan yang diperlukan untuk mencapai matlamat mobiliti sosial mereka.

Adaickalam yang berpengalaman 32 tahun bekerja dalam pelbagai skim di seluruh negara berkata ini berlaku kerana wujud kekurangan yang tersembunyi dalam projek PPR.
“Projek perumahan awam sering menjadi komuniti yang tiruan,” katanya.
Mereka terdiri daripada keluarga dengan latar belakang, kaum dan agama yang berbeza dan terpaksa tinggal bersama tanpa membentuk ikatan persefahaman yang amat perlu dalam masyarakat miskin dan berpendapatan rendah untuk kelangsungan hidup.
Masyarakat setinggan kadangkala mempunyai keluarga yang tidak saling mengenali dan bergantung pada satu sama lain untuk dana kecemasan atau saling menjaga anak masing-masing, kata Adaickalam.
“Bila mereka berpindah ke rumah pangsa awam, jaringan persefahaman ini tidak wujud. Jadi kanak-kanak tidak dapat sesuaikan diri. Ia mengejutkan pertumbuhan mereka dan tidak dapat jadi lebih baik daripada ibu bapa mereka.”
Bantuan selepas waktu sekolah
Adaickalam berkata ada satu kes, seorang budak kurus kering bernama Rajen, tingginya lima kaki tapi saiznya lebih kecil daripada Adaickalam.
Beliau bertemu Rajen di penjara di Selangor di mana budak lelaki itu dipenjarakan atas kesalahan merompak, menculik dan membunuh. Dan umurnya belum pun mencecah 25 tahun.
Keluarga Rajen berpindah ke rumah pangsa dua bilik di PPR di Kuala Lumpur pada 1990-an.
“Dia banyak menghabiskan masa di kawasan perkuburan berhampiran kerana rumahnya terlalu sempit. di situ dia bertemu dan kemudian berkawan dengan geng budak nakal. Begitulah bagaimana kehidupan jenayahnya bermula.”
Rajen antara contoh, dan nasib sepertinya mungkin boleh menimpa anak-anak lelaki Mageswari.
“Mageswari berumur 26 tahun bila suaminya meninggal dunia dan mempunyai empat anak. Seseorang membawa kesnya kepada NGO di mana saya bekerja pada masa itu,” kata Adaickalam.

NGO kemudian memberikan Mageswari cara dan jalan untuk meneruskan perniagaan runcit yang dilakukan suaminya.
Sementara ibu itu bekerja, empat anaknya akan menghabiskan masa lepas sekolah di pusat belajar yang dikendalikan oleh NGO berkenaan.
Adaickalam berkata anak-anak Khatijah juga menjalani rutin hidup yang sama.
“Khatijah ialah tukang baiki kasut yang membuka kedai di tepi parit. Selepas sekolah, anaknya akan bermain di situ supaya dia dapat memerhatikan mereka,” Adaickalam, bercerita bagaimana NGO berkenaan menemui keluarga Khatijah.
Anak Khatijah juga kemudian diletakkan di pusat belajar selepas waktu sekolah.
Berikutan bimbingan yang mereka terima, semua anak daripada ibu tunggal itu memperoleh keputusan cemerlang dan berjaya menempatkan diri di universiti.
“Mereka semua tamat pengajian dan apabila mereka dapat pekerjaan yang baik, mereka bawa ibu masing-masing keluar dari rumah pangsa itu dan tinggal bersama mereka.”
Kematangan politik, korporat
Apa yang masyarakat awam dan bakal penyedia dana tidak dapat lihat dalam kejayaan ini ialah program yang membantu Mageswari dan Khatijah itu mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk membuahkan hasil.
“Untuk membuatkan mereka percaya kepada kita saja ambil masa dua tahun,” kata Adaickalam. Hanya selepas itu mereka dapat dipujuk untuk mengubah hidup dan percaya kepada NGO untuk menjagakan anak mereka selepas sekolah.
Lazimnya, apabila sesebuah NGO meminta tajaan korporat, syarikat terbabit hanya mahu memberikan sumbangan untuk tempoh setahun.
“Tetapi untuk lihat perubahan sebenar, ia ambil masa antara tujuh hingga 10 tahun,” kata Adaickalam.
“Contohnya, dua NGO meminta sumbangan korporat. Yang pertama cadang satu program yang ambil masa dua tahun dan membabitkan sekumpulan kecil kanak-kanak.
“Yang kedua mempunyai satu program besar dengan liputan media. Biasanya, syarikat akan memilih NGO kedua.”
Walaupun kerajaan menyediakan dana yang diperlukan dan sokongan untuk projek masyarakat, mereka yang bertanggungjawab melaksanakan inisiatif itu membiarkan politik masuk campur.
Terdapat kes di mana di sebuah projek perumahan, Rukun Tetangga dikawal oleh ahli parti pemerintah dan persatuan penduduk yang lain dikawal pembangkang, kata Adaickalam.
Di sebuah PPR di Selangor yang ditadbir pembangkang, Rukun Tetangga mengeluarkan nama seorang penerima bantuan hanya kerana dia didakwa sebagai “penyokong BN”.
Persatuan yang menjadi pesaing itu kemudian ada satu lagi senarai penduduk yang dikatakan “penyokong PR”.
“Saya terpaksa beritahu mereka supaya hentikan amalan itu. Bila ada polarisasi politik, syarikat itu semakin terpecah dan bantuan tidak diagihkan secara saksama.”
Katanya, program yang berjaya biasanya dikendalikan oleh individu yang dedikasi, matang politiknya dan dapat menilai apa sebenarnya diperlukan oleh keluarga miskin bagi membantu mereka terus mendaki tangga sosial.
Dalam kes Mageswari dan Khatijah, tiada bantuan kewangan diberikan kerana mereka ada sumber pendapatan, kata Adaickalam.
Tetapi NGO itu membantu menjaga anak mereka kerana itu apa yang sebenarnya mereka perlukan.
NGO itu juga ada penaja yang sanggup melabur bagi tempoh jangka panjang, katanya.
“Tanpa campur tangan yang membina, anda tidak dapat membantu mereka dalam kumpulan B40.” – 13 November, 2017.
Komen