Anak Azmin belum terima writ saman tunggakan bil pelancongan


Bede Hong

YHA Travel & Tours pada November lalu memfailkan tuntutan saman terhadap Mohamed Azmin Ali dan anak-anaknya ekoran kegagalan membayar tunggakan bil perjalanan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2020.

AGENSI pelancongan yang menyaman anak-anak Mohamed Azmin Ali kerana gagal membayar bil perjalanan RM390,000 masih belum dapat mengemukakan writ saman.

YHA Travel & Tours pada November lalu memfailkan tuntutan saman terhadap bekas menteri hal ehwal ekonomi itu dan anak-anaknya ekoran kegagalan membayar bil perjalanan mereka.

Syarikat itu menuntut tunggakan bayaran bagi perjalanan ke Maghribi, England, Indonesia, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Switzerland, Singapura, Thailand, Sepanyol dan Greece.

Peguam Adam Yap yang mewakili YHA hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini writ saman masih belum diserahkan kepada anak-anak Azmin iaitu Farah Shazliyana, 29; Farah Afifah, 24; Farah Amira, 26; dan Mohamed Ameer Shazrin, 28, yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman tersebut.

Yap tidak memberitahu mahkamah mengapa writ masih belum diserahkan.

Hakim Nur Lailatul Zuraida menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes.

Awal bulan lalu peguam agensi pelancongan itu memfailkan pindaan writ saman untuk menambah anak-anak Azmin sebagai defendan dalam tuntutan saman mendapatkan tuntutan bil tertunggak tiket penerbangan dan penginapan hotel terhadap bekas menteri itu.

Azmin juga membuat lawatan ke Sandakan untuk kempen pilihan raya kecil di sana pada Mei tahun lalu.

Agensi itu menuntut tunggakan sebanyak RM328,901, bersama faedah dan ganti rugi lain.

Agensi itu juga berkata surat tuntutan telah dihantar kepada Azmin pada 27 Ogos dan 30 September lalu, tetapi tiada jawapan.

Azmin berjanji akan membayar bayaran tunggakan tersebut selepas semakan dibuat.

“Saya belum lihat writ saman itu lagi. Saya telah minta pegawai-pegawai saya untuk menyemak tuntutan yg dibuat oleh ejen pelancongan yang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada November lalu. – 6 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen