Latheefa Koya letak jawatan ketua SPRM


Latheefa Koya menyerahkan surat peletakan jawatan ketua pesuruhjaya SPRM kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar ihsan SPRM, 6 Mac, 2020.

LATHEEFA Koya mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ketua agensi anti rasuah namun menegaskan keputusannya bukan disebabkan tekanan, selepas pentadbiran di Putrajaya bertukar minggu lalu.

Katanya, keputusan meletak jawatan – ketika hampir genap dua tahun beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – adalah keputusannya sendiri.

“Saya sudah menyerahkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sepucuk surat menyatakan hasrat saya letak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, tertakluk pada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ini keputusan saya sendiri. Spekulasi bahawa ada tekanan terhadap saya adalah tidak berasas,” katanya, dalam satu kenyataan media.

Tambah Latheefa, beliau berhajat kembali bertugas sebagai peguam hak asasi manusia.

Latheefa adalah pegawai kanan kedua yang dilantik semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 24 Februari lalu.

Pada 28 Februari lepas, Tommy Thomas meletak jawatan peguam negara atas alasan perubahan politik.

Menurut Latheefa, beliau bertemu Muhyiddin semalam untuk menjelaskan keputusannya letak jawatan.

“Perbincangan kami sangat mesra dan beliau memahami kedudukan saya,” katanya.

Perbincangan itu antara lain menyentuh usaha SPRM mendapatkan semula wang yang diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tambahnya.

Latheefa juga menjelaskan sepanjang minggu ini beliau sudah memberikan taklimat kepada timbalannya Azam Baki serta ketua-ketua jabatan di SPRM bagi memastikan kelancaran serah tugas.

“SPRM berjalan macam biasa, di tangan pegawai saya yang berkemampuan,” katanya.

Beliau penuh yakin SPRM akan meneruskan kerja membanteras rasuah dengan tangguh, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik pelakunya.

Latheefa turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pentadbiran Muhyiddin.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, rakan-rakan di SPRM serta rakyat atas sokongan yang diterimanya selama memegang jawatan itu.

Latheefa dilantik mengetuai SPRM pada 4 Jun tahun lalu, menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal. Kontrak Shukri pada masa itu sepatutnya berakhir pada 17 Mei, 2020.

Pelantikan Latheefa, yang sebelum itu aktif dalam PKR sebelum pilihan raya umum 2018, mendapat reaksi pelbagai, termasuk kritikan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan yang mempertikaikan proses tidak dibuat melalui Parlimen. – 6 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen