SEKARANG adalah peluang untuk Sarawak mendesak kerajaan persekutuan mematuhi sepenuhnya terma dan syarat Perjanjian Malaysia 1963 bagi mengembalikan semula hak yang terhakis, kata penganalisis.
Ini kerana kerajaan Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan getir dan hanya diseimbangkan dengan sokongan 18 ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak pada kemelut politik negara minggu lepas.
“Sekaranglah masanya untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melunaskan janji yang dipersetujui untuk mendapatkan sokongan GPS,” kata penganalisis politik Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia kepada The Malaysian Insight.
“Sekarang memang masanya untuk Muhyiddin menggembirakan GPS dan Sarawak.
“Kedudukannya sebagai perdana menteri getir dan beliau memerlukan GPS untuk menunjukkan beliau ada sokongan majoriti.”
Masa untuk menunjukkan sokongan itu wujud, kata Jayum, adalah apabila Parlimen kembali bersidang pada 18 Mei dan Muhyiddin perlu membuktikan ada sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Penganalisis kelahiran Sarawak itu berkata, sebahagian ketidakpuasan hati terutama yang berkaitan dengan MA63 mungkin tidak dapat diselesaikan serta merta.
Bagaimanapun, beliau percaya selagi mana Sarawak merasakan ada komitmen Muhyiddin, “GPS akan terus bersamanya.”
Tetapi, Jayum turut memberi amaran yang empat parti yang membentuk GPS- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progersif Demokratik (PDP)- perlu lebih berhati-hati dalam tindakan dan pendirian mereka.
“GPS akan berdepan pilihan raya negeri dan mereka mahu kepercayaan Muhyiddin untuk memberitahu penduduk Sarawak yang GPS menjaga kepentingan negeri dengan baik.”
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya juga bersetuju dan berkata kesediaan Muhyiddin untuk memenuhi desakan GPS akan menentukan masa depan pentadbirannya.
Azman berkata persoalan sama ada Muhyiddin bakal menjadi perdana menteri paling sekejap mentadbir dalam sejarah Malaysia akan bergantung kepada kemampuannya menyakinkan GPS dan sejauh mana beliau akan tunduk kepada tuntutan Sarawak.
Ia penting kerana ia akan memberi kesan kepada peluang GPS mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dijadualkan berlaku pada 2021, kata Azman lagi. – 6 Mac, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen