Parlimen tangguh untuk lantik Kabinet baharu, kata JPM


Sidang Parlimen yang dijadualkan pada Mac ditangguh kepada Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

SIDANG Parlimen yang dijadualkan bermula pada 9 Mac ditangguh kepada 18 Mei untuk membolehkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memuktamadkan senarai Kabinetnya, kata Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

JPM dalam kenyataan itu berkata penangguhan itu juga membolehkan menteri baharu dilantik mempunyai masa mencukupi untuk memahami peranan dan tanggungjawab kementerian dan jabatan masing-masing.

“Penundaan turut memberi peluang kepada ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan serta usul baru agar releven dengan isu semasa negara.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan urusan pentadbiran di Parlimen berjalan lancar,” kata kenyataan itu.

Awal minggu ini, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata sidang Parlimen seterusnya akan bermula pada 18 Mei dan bukannya pada 9 Mac seperti jadual asal.

Katanya, beliau menerima surat daripada perdana menteri memaklumkan tarikh baharu itu pada Selasa.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan bagaimanapun tidak gembira dengan penangguhan itu, berkata Muhyiddin sepatutnya mengambil peluang terawal untuk membuktikan sokongan diterimanya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata Muhyiddin wajar mengadakan sidang khas Parlimen untuk membuktikan sokongan majoriti diterimanya. – 5 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen