Sabah terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, kata Shafie


Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata parti pimpinannya itu tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 Mac, 2020.

KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan meneruskan kerjasamanya dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata parti pimpinannya itu tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Katanya kerjasama dengan kerajaan persekutuan itu perlu agar agenda menjaga kepentingan rakyat dari aspek kesihatan, pendidikan dan keselamatan dapat diteruskan.

“Kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G-To-G) ini memang sedia kita amalkan. Manakala kerjasama politik cukup jelas bagi kita untuk terus menyokong Dr Mahathir,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Perjumpaan itu dihadiri kesemua 43 Adun dalam kerajaan negeri Sabah kecuali Adun Bugaya. Turut hadir adalah Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Christina Liew dan Pemangku Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon Ming Fung.

Ditanya mengenai pelaksanaan projek pembangunan kerajaan persekutuan di Sabah, Shafie berkata pihaknya akan merundingkan perkara itu dengan kerajaan persekutuan.

“Kita masih tengah berunding dengan kerajaan persekutuan yang mana sekarang ini (Kabinet persekutuan) belum dibentuk secara sempurna, siapa yang jaga minyak, siapa menjaga perumahan, siapa menjaga pendidikan belum ditentukan.

“Walaupun demikian agenda menuntut hak-hak Sabah sudah sedia ada. Perkara ini kita susun atur dan dimantapkan,” katanya.

Kerajaan Warisan Sabah akan terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional tetapi turut menyokong Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Menteri Shafie Apdal.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 5 Mac, 2020.

Menurut Shafie walaupun Sabah negeri pembangkang, perundingan dengan kerajaan persekutuan itu masih boleh dijalankan, kerana Sarawak ketika negeri itu tidak ada hubungan politik dengan kerajaan persekutuan, pemimpin negeri itu (Sarawak) masih menghadiri mesyuarat menteri besar dan ketua menteri serta terlibat dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963.

Mengenai tuntutan royalti minyak, Shafie berkata ia akan diteruskan kerana belum ada kata putus berhubung rundingan kerajaan negeri dan persekutuan serta Petronas berhubung perkara itu.

Sementara itu Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) Liew Vui Keong berkata keputusan yang diambil kerajaan Sabah untuk tidak menjalin kerjasama politik dengan kerajaan persekutuan amat membanggakan.

Beliau berkata langkah yang diambil ketua menteri Sabah untuk meneruskan kerjasama pentadbiran antara  kerajaan negeri dan persekutuan adalah untuk kebaikan rakyat di Sabah.

“Ini adalah prinsip kita…namun kita masih ada kerjasama dengan persekutuan melalui antara Kerajaan dan Kerajaan (‘G2G’). Namun tiada kerjasama politik. Kita sebagai rakyat Sabah mahu pastikan demokrasi dapat dikekalkan kembali,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan Shafie dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan Sabah, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen daripada Warisan, PKR, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).         

Mengulas mengenai penangguhan sidang Parlimen oleh kerajaan, Liew yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berkata ia ditangguhkan kerana barisan kabinet persekutuan belum ditubuhkan.

“Oleh itu tiada menteri yang mengendalikan hal ehwal Parlimen. Mereka boleh menunda sidang Parlimen tidak melebihi tempoh enam bulan daripada persidangan akhir pada 5 Dis 2019,” katanya.

Sementara itu, Presiden Upko Wilferd Madius Tangau berkata sejak Mei 2018 (pilihan raya umum) parti itu secara konsisten berusaha untuk menyelamatkan mandat rakyat.

“Oleh itu pada hari ini kita akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan memberi sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Bagi Upko yang paling penting adalah rakyat dan itu adalah prinsip kita serta panduan kita daripada segi membuat keputusan,” tambahnya. – Bernama, 5 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen