Latheefa tak dapat sahkan kaedah rakaman audio Najib


Bede Hong

Isunya adalah kandungan rakaman itu boleh dijadikan asas memulakan siasatan yang boleh membawa kepada penemuan bukti lain, kata Ketua SPRM Latheefa Koya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Mac, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pasti sama ada klip audio melibatkan sembilan individu termasuklah Najib Razak yang didedahkan baru-baru ini adalah hasil pintasan komunikasi, kata Ketuanya Latheefa Koya.

Latheefa berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan perbicaraan kes SRC International, turut menambah, yang beliau tidak dapat menentukan kesahihan rakaman yang diperdengarkan kepada media pada sidang akhbar 8 Januari lepas.

Apabila disoal oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, Latheefa bersetuju dengan cadangan bahawa rakaman itu mungkin tidak dapat diterima sebagai bukti di mahkamah kerana tidak memenuhi syarat pembuktian sahih.

Bagi membolehkan ia diterima mahkamah sebagai bukti, peguam perlu menunjukkan bagaimana rakaman itu dibuat, kronologi pemilikan dan ia tidak diusik dan diubah.

Latheefa bagaimanapun berkata yang kandungan rakaman itu boleh digunakan untuk memulakan siasatan yang boleh membawa kepada penemuan bukti lain wujudnya salah laku.

Beliau turut menjelaskan yang isu kesahihan rakaman itu kini terletak di bawah bidang kuasa polis kerana rakaman itu sudah diserahkan kepada mereka.

“Saya bercakap soal kandungan dan kandungan yang kami temui mempunyai potensi kesalahan dibuat kerana kebocoran dokumen rahsia dan perkara ini perlu disiasat,” kata Latheefa.

“Dalam siasatan, polis boleh memanggil saksi dan individu terlibat dan mengesahkan ia berlaku. Dan jika ia berlaku, anda tak semestinya perlukan rakaman itu untuk diterima sebagai bukti di mahkamah.”

Shafee mencadangkan yang rakaman itu mungkin hasil pintasan haram untuk tujuan risikan, Latheefa menjawab semua kemungkinan wujud.

Rakaman itu dihantar dalam sampul surat ke rumah Pegawai Khas SPRM Ahmad Nizam yang kemudiannya memaklumkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki, kata Latheefa. – 5 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen