5 kes baharu Covid-19 dikaitkan dengan pesakit ke-26


Ragananthini Vethasalam

Setakat hari ini, 55 kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Mac, 2020.

LIMA kes baharu Covid-19 dikaitkan dengan pesakit ke-26 dilaporkan hari ini, membawa kepada jumlah kes di Malaysia sebanyak 55, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

“Semua kes ini berkait rapat dengan kes positif ke-16. Kes ini adalah kontak rapat kes positif dalam kluster itu,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Koronavirus (Covid-19) yang dipengerusikan ketua setiausaha negara.

Tambahnya, pengesanan kontak rapat kluster tersebut masih giat dijalankan.

Pesakit ke-26 dipercayai adalah ahli lembaga pengarah Uda Holdings Bhd, yang diuji positif pada 1 Mac.

Noor Hisham berkata lima kes baharu itu dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kementerian Kesihatan (CPRC), dan setakat jam 12 tengahari tadi, jumlah kes kluster itu adalah 26 kes.

Menyentuh tentang keputusan dibuat pada mesyuarat itu, Noor Hisham berkata rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan ke Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali, Hokkaido di Jepun serta Tehran, Qom dan Gilan di Iran.

“Mesyuarat juga memutuskan untuk mengenakan sekatan sementara kemasukan kepada semua pelawat (tanpa mengira kewarganegaraan) yang berada di bandar atau melawat bandar atau negara itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan mereka di Malaysa,” katanya.

Setakat ini, 55 kes positif dilaporkan di Malaysia, daripada jumlah itu 22 pesakit berjaya dipulihkan. – 5 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen