SPRM mula siasat aset luar biasa Tengku Adnan


Bede Hong

Bukan soal pendedahan tetapi bagaimana dia dapat aset sebanyak itu, kata Ketua SPRM Latheefa Koya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Mac, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia sudah membuka kertas siasaran terhadap sumber aset Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencecah RM800 juta didedahkan di mahkamah semalam.

“SPRM memandang serius perkara ini dan saya sudah memberikan arahan supaya siasatan dimulakan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai keterangan Tengku Adnan bahawa jumlah asetnya sudah diisytiharkan kepada Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri pada 2001, Latheefa menjawab: “Itu dia kata.”

“Isu kita bukan pendedahan aset tetapi bagaimana dia dapat aset itu. Saya sudah berikan arahan untuk mulakan siasatan,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah selepas memberi keterangan pada perbicaraan kes SRC International Najib Razak, tengahari tadi.

Tengku Adnan dalam keterangan pembelaan perbicaraan kes rasuahnya semalam, terpaksa mendedahkan kepada mahkamah yang jumlah asetnya adalah lebih RM938 juta yang diisytiharkan kepada perdana menteri pada 2001.

Beliau membuat pengisytiharan serupa pada 2006 dengan jumlah aset RM711 juta, RM691 juta pada 2013 dan RM782 juta pada 2016.

Presiden PKR dalam klip video dimuat naik di Facebook hari ini turut meluahkan rasa terkejut dengan jumlah aset Tengku Adnan, dan mendesak siasatan segera dijalankan.

Manakala, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman menerusi Twitternya juga mempersoalkan kekayaan luar biasa Tengku Adnan itu.

“Kalau Ku Nan (Tengku Adnan), setiausaha agung BN boleh mengumpul aset ~RM1Bilion, bayangkan pemimpin BN yang lain,” tulisnya.– 5 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen