MENDIANG Karpal Singh akan dikenang sebagai salah seorang pemimpin terhebat yang pernah DAP ada, kata Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo.
Gobind yang juga anak kepada Karpal mengulas kenyataan yang bekas pengerusi tu masih lagi menerima 43 undi walaupun sudah meninggal dunia.
“Saya tidak ada pilihan tetapi mematuhi peraturan yang ditetapkan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) iaitu memandangkan beliau dinamakan sebagai calon dan namanya kekal di dalam kertas undi, anda dapat lihat beliau masih menerima undian walaupun tidak lagi bersama kita.
“Saya cuma boleh katakan yang kami merinduinya dan saya pasti beliau bersama kami dalam setiap perjuangan akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Shah Alam hari ini.
Karpal meninggal dunia pada 17 April, 2014 dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Gobind yang menerima 1198 undi dalam pemilihan semula CEC hari ini telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP.
Ahli Parlimen Puchong itu ditempat kedua selepas Lim Kit Siang dengan beza hanya satu undi.
“Saya terharu dengan dengan kepercayaan yang diberikan perwakilan kepada saya dan semua dah lihat angkanya hari ini, dan saya dilantik sebagai timbalan pengerusi DAP.
“Saya sangat gembira dan berharap akan dapat menyumbang dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.
“Inilah pasukan yang kita mahukan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang,” kata Gobind.
Pada pemilihan semula CEC hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang dan Lim Kit Siang masing-masing mengekalkan kedudukan sebagai Setiausaha Agung dan Ketua Parlimen DAP. – 12 November, 2017.
Komen