Marzuki Mohamad dilantik ketua setiausaha sulit PM


Marzuki Mohamad mempunyai pengalaman berkhidmat dengan Muhyiddin Yassin sejak 2009. – Gambar Facebook, 5 Mac, 2020.

DR Marzuki Mohamad dilantik sebagai ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berkuatkuasa 1 Mac, kata Pejabat Perdana Menteri.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas Muhyiddin di Kementerian Dalam Negeri sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Marzuki, 46, adalah lulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memperoleh ijazah PhD dalam bidang sains politik dari Australian National University, Australia.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di UIAM pada 1999 dan dilantik sebagai pegawai khas kepada Muhyiddin ketika beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 2009 hingga 2013.

Marzuki kemudian dilantik sebagai setiausaha politik Muhyiddin atas kapasitinya sebagai menteri pelajaran dari 2013 hingga 2015.

Beliau kembali ke UIAM pada 2015 dan memegang jawatan sebagai ketua bagi Jabatan Sains Politik. – 5 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen