KUMPULAN masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang menyeru rakyat Sarawak untuk muncul di perhimpunan esok bagi mendesak kerajaan negeri supaya mempercepatkan pindaan kanun Tanah Negeri untuk melindungi hak peribumi.
Bantahan terhadap dasar tanah yang sedia ada sekarang, yang dikatakan mengekploitasi sumber terbesar Sarawak akan melibatkan persatuan, organisasi dan wakil dari pelbagai jurang politik.
Perhimpunan itu akan diadakan sama ada di Kuching Waterfront berdekatan Old Couthouse atau di mahkamah baharu di Petra Jaya di mana kes Tuai Rumah Sandah diputuskan pada tahun lepas.
Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) dan masyarakat asli lain mendesak “mana-mana rakyat Sarawak yang merasakan ketidakadilan dalam dasar tanah” supaya datang.
“Kami jangkakan ramai yang datang. Anda akan lihat logo dan sepanduk dari banyak organisasi menunjukkan pelbagai kumpulan yang prihatin terhadap isu ini,” kata penganjur dan ahli Sadia, Peter John Jaban.
Turut menyertai perhimpunan itu ialah parti-parti pembangkang, antaranya DAP, PKR dan Parti Bansa Dayak Baru (PBDS Baru). Perhimpunan akan bermula jam 2 petang selepas memorandum diserahkan kepada dewan negeri Sarawak oleh 12 ketua paling utama.
Peter berkata kumpulan-kumpulan itu membantah pencerobohan firma-firma Malaysia Barat untuk membangun dan memiliki tanah adat yang adakalanya secara paksaan.
“Kumpulan-kumpulam Malaysia Barat seperti Felda, Tabung Haji, sekarang semakin bertapak di negeri ini dengan memberi keutamaan kepada pemilik tanah peribumi.
“Ini mencerminkan dasar pengurusan tanah semasa yang menggalakkan syarikat-syarikat perladangan berskala besar memberi kuasa kepada pekebun kecil dan koperasi komuniti, dan prosedur Jabatan Tanah dan Ukur telah diubahsuai untuk melaksanakannya,” katanya.
Peter berkata tumpuan bantahan itu ialah kepada Kanun Tanah Sarawak yang telah beberapa kali dipinda sejak beberapa dedak yang lalu.
“Bagaimanapun, masih ada kekeliruan mengenai kedudukan undang-undang, terutamanya pemakai menoa dan pulau galau. Mana-mana orang peribumi di negeri ini faham yang kedua-dua ini bahagian penting dalam Adat kami,” kata Peter.
“Namun, walaupun Adat ialah undang-undang di Sarawak di bawah Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, sekarang kita ada keputusan Mahkamah Persekutuan menyatakan kedua-duanya tiada kuasa dalam undang-undang.
“Tak hairanlah semua Dayak merasa kecewa dan marah apabila undang-undang adat dan amalan kuno ini diketepikan. Ia seolah-olah bahagian terpenting dalam budaya dan amalan kami tidak bermakna di negeri ini.”
Seksyen 5 (f) Kanun Tanah 1958 mengiktiraf penciptaan tanah NCR melalui “sebarang cara lain yang sah”. Dahulu, ia selalu difahami sebagai Adat. Kerajaan negeri telah berusaha untuk mengeluarkan klausa ini dari Kanun Tanah tetapi ia masih belum diwartakan, jadi ia masih berkuatkuasa. – 12 November, 2017.
Komen