PELAKSANAAN hudud, peguam negara Melayu serta undang-undang yang lebih tegas untuk mereka yang menghina Islam adalah antara tuntutan kumpulan pendesak hak dan kepentingan Melayu mahu kerajaan baharu yang dikuasai majoriti Melayu.
Kumpulan ini adalah badan masyarakat yang seringkali mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bersikap anti Melayu dan anti Islam – tuduhan yang disifatkan oleh kerajaan sebelum ini sebagai tidak berasas.
Ketua Aktivisi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata sebenarnya tidak ada halangan sekiranya kerajaan baharu ini mahu melaksanakan undang-undang hudud.
“Kena terimalah undang-undang hudud, sebab hukuman orang langgar mati sepatutnya kena bunuh balik. Ini kes sekarang tak dapat apa-apa ganti rugi.
“Benda macam ini (undang-undang hudud) kena sokong, benda baik. Ia tunjukkan Islam ini universal,” katanya.
Hudud atau undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang selama ini diperjuangkan oleh PAS, yang kini bersama beberapa parti lain membentuk kerajaan dalam gabungan Perikatan Nasional.
PAS pernah cuba melaksanakan hudud di Kelantan dan Terengganu namun gagal.
Pentadbiran PH yang mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) runtuh minggu lalu selepas komponennya Bersatu menarik diri dari gabungan dan membentuk kerjasama dengan Umno, PAS dan sebahagian wakil rakyat bekas PKR.
Sementara itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam mahu seorang peguam negara Melayu dan Islam dilantik, yang benar-benar bebas dan berpengalaman luas.
“Yang kita mahu jawatan peguam negara diberi kepada tokoh yang betul- betul bebas, kena orang Islam, Melayu dan ada pengalaman luas,” kata pengerusinya Aminuddin Yahaya.
Peguam Negara Tommy Thomas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PRU14 meletakkan jawatan minggu lalu selepas pentadbiran PH jatuh.
Dalam pada itu, Aminuddin juga berharap kerajaan baharu akan dapat memupuk semula perpaduan dengan menguatkuasakan undang-undang lebih tegas membabitkan pesalah yang menghina agama terutama Islam.
Beliau juga mahu kerajaan merombak semula Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) dengan komposisi yang lebih inklusif.
“Perpaduan kaum kena ada satu mekanisme terutama melibatkan penghinaan agama.
“Kena lihat lebih serius dan perlu ditangani sebab orang Melayu tak ada hina pun kaum lain tapi kaum lain hina agama Melayu Islam, jadi penguatkuasaan itu perlu ada,” katanya.
Bantuan ekonomi
Sementara itu, dalam soal ekonomi, Aminuddin berharap kerajaan baharu ini tidak mengulangi kegagalan kerajaan lepas, yang didakwanya mengenepikan hak dan kebajikan kaum Melayu dan Bumiputera.
Beliau mahu kerajaan memberi peruntukan khas kepada institusi yang menolong usahawan Melayu seperti Mara dan Uda.
“Yang paling penting kita tidak mahu ada ketirisan, ada kroni… tumpu kepada usahawan Melayu.
“Masalah bagi sama rata… tahap jurang usahawan Melayu dengan bangsa lain berbeza. Kalau nak sama rata, itu salah,” katanya.
Presiden Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) Nazilah Idris turut senada berkata dasar kerajaan memansuhkan kuota Bumiputera memberi kesan kepada usahawan Melayu.
“Berhentilah politik kerana rakyat perlukan kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Selesaikan isu berkepentingan melibatkan ekonomi orang Melayu seperti Tabung Haji, Mara dan Felda,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan akan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walaupun pada kadar lebih rendah iaitu 2%.
Alasannya, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan oleh pentadbiran PH bagi menggantikan GST membuka ruang kepada rakyat mengelak cukai.
“Sistem percukaian GST ini lebih teratur. Kerajaan boleh kutip cukai dari rakyat dan boleh bantu memulihkan masalah kewangan negara.
“Kalau SST, ramai lari bayar cukai,” kata Nazilah.
Semasa PH jadi kerajaan, beberapa kumpulan ini lantang menyuarakan hak dan kepentingan Melayu dan Islam yang didakwa terpinggir.
Mereka terlibat misalnya dalam kempen menentang usaha kerajaan meratifikasi dokumen antarabangsa menghapuskan diskriminasi kaum dan Statut Rom yang akan menjadikan Malaysia negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Mereka juga terlibat dalam kempen menggalakkan pengguna membeli barangan keluaran Muslim.
MCED tahun lalu misalnya menggesa kerajaan memperkenalkan akta khusus melarang usahawan bukan Islam menggunakan tulisan Jawi pada produk keluaran mereka. – 6 Mac, 2020.
Komen