PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini diberi taklimat mengenai perkembangan sektor pendidikan dan hubungan luar Malaysia.
Taklimat berkenaan disampaikan semasa beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Negeri di pejabatnya di Perdana Putra di Putrajaya.
Pertemuan pada hari ketiga Muhyiddin sebagai perdana itu dilaporkan dalam hantaran di laman Facebook Muhyiddin Yassin.
Menurut hantaran tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Dr Mohd Ghazali Abas memberi penerangan mengenai perkembangan sektor pendidikan negara termasuk statistik pencapaian terkini dan cadangan untuk mempertingkatkan bidang itu.
Ketua Setiausaha Luar Negeri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob pula memaklumkan tentang keadaan semasa hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, di samping jalinan kerjasama serta persidangan penting yang akan berlangsung pada tahun ini.
Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 1 Mac.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.– Bernama, 4 Mac, 2020.
Komen