Perikatan bentuk sekretariat dengan Bersatu, kata Umno


SM Amin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa bersama rakan sejawatnya daripada MCA, Chong Sin Woon (kedua dari kiri) di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Mac, 2020.

PERIKATAN Nasional akan membentuk sekretariat dalam masa segera, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Katanya, sekretariat itu terdiri daripada setiausaha agung parti komponen termasuk Bersatu.

“Semua parti walaupun sekecil mana dalam Perikatan Nasional akan bentuk satu sekretariat. Kita akan bekerjasama dalam satu pasukan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ia akan melibatkan setiausaha agung Bersatu, Annuar berkata “Ya termasuk Bersatu.”

Bagaimanapun Bersatu akan mengambil masa menetapkan individu di jawatan setiausaha agung parti itu, yang kini disandang Marzuki Yahya.

“Cuma saya dimaklumkan Bersatu perlu masa sehari dua untuk tetapkan siapa setiausaha agungnya. 

“Terdapat persoalan mengenai kedudukan Marzuki Yahya. Itu masalah dalaman mereka dan kita harap Bersatu dapat selesaikan segera,” katanya

Kedudukan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu menjadi persoalan ekoran perkembangan politik yang berlaku sejak lebih seminggu lalu.

Parti itu kini terumbang-ambing selepas presidennya Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan.

Pengerusinya serta lima lagi ahli Parlimen Bersatu tidak menyokong tindakan itu, serta pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Annuar Musa bercakap kepada pemberita hari ini selepas bertemu pemimpin MCA yang diketuai rakan sejawatnya Chong Sin Woon. – 4 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen