Kit Siang terima undian tertinggi dalam pemilihan semula CEC


Asila Jalil

Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang menerima 1,199 iaitu yang tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 November, 2017.

PENASIHAT DAP Lim Kit Siang menerima undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menerima 1,199 undi diikuti Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dengan 1,198 undi.

Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menduduki tempat ketiga dengan 1,180 undi manakala Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke menerima 1,175 undi. Tempat kelima ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Ini merupakan kali ketiga DAP mengadakan pemilihan CEC sejak 2012 selepas berlaku perselisihan antara beberapa ahli.

Pemilihan CEC kedua diadakan pada Julai 2013 tetapi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak keputusan pemilihan itu tahun ini.

Bekas pengerusi DAP Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2014, menerima 43 undi.

Ronnie Liu dan V. Sivakumar yang merupakan ahli baharu di dalam pemilihan CEC, masing-masing menerima 688 dan 586 undi - menggantikan Boo Cheng Hau dan Karpal Singh. Manakala ahli-ahli lain dalam pemilihan kali ini adalah muka-muka lama.

Teo Nie Ching yang sebelum ini berada di tempat ke-17 kini naik ke tangga keenam dengan 1080 undi.

Antara ahli-ahli yang menduduki tempat kesepuluh teratas daripada 20 dalam pemilihan CEC DAP ialah Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen (1057 undi), Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (1033 undi), Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai (1021 undi) dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua (1020 undi). 

Ahli-ahli lain adalah Nga Kor Ming, Fong Kui Lun, Chow Kon Yeow, M. Kulasegaran, Chong Eng, Teng Chang Khim, Ngeh Koo Ham dan Zairil Khir Johari.

Keputusan diumumkan pegawai pengurus dari firma audit bebas Grant Thornton, John Lau dan pembantunya Desmond Tan pada jam 5.10 petang tadi.

Sebanyak 1346 undi dibuang, dengan 36 daripadanya adalah undi rosak. – 12 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen