UMNO dan PAS perlu menghormati Bersatu sebagai “tuan” dalam gabungan baharu Perikatan Nasional yang dibentuk, yang minggu lalu menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan, kata pemimpin Pemuda Bersatu.
Exco Pemuda Bersatu Abdul Hannaan Mohd Khairy berkata hala tuju gabungan baharu itu terletak pada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang kini perdana menteri.
Katanya, desakan Umno Kedah supaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dinamakan sebagai timbalan perdana menteri adalah melampau, selepas Muhyiddin berkata kabinet yang bakal dibentuk akan terdiri daripada pemimpin yang “bersih, berintegriti, dan bebas rasuah”.
“Ini benar-benar melampau. Zahid Hamidi ini dikenali ramai bukan kerana pencapaian beliau mengemudi negara dahulu.
“Tetapi, Zahid Hamidi paling terkenal dengan 47 pertuduhan (12 pecah amanah jenayah, 8 rasuah, 27 penggubahan wang haram) terhadap dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM31 juta,” katanya, dalam satu tulisan di laman web Pemuda Bersatu.
Tambah Hannaan, Umno Kedah sepatutnya menunjukkan hormat kepada Muhyiddin.
“Adakah Umno berfikir Perikatan Nasional ini mampu dibentuk tanpa kerusi “emas” Bersatu?
“Umno perlu dengar kata tuan, bukan cuba menjadi tuan,” katanya.
Beliau menambah Perikatan Nasional tidak akan terbentuk “tanpa keizinan dan ehsan” Bersatu dan Muhyiddin.
“Umno, PAS dan mana-mana lagi parti yang berlindung di bawah Perikatan Nasional harus hormat dan akur dengan kami. Ini paling jelas,” katanya.
Perikatan Nasional dibentuk hasil gabungan Bersatu yang mempunyai 29 kerusi, termasuk ahli Parlimen diketuai Mohamed Azmin Ali yang dipecat atau meninggalkan PKR.
Umno yang mempunyai 39 wakil rakyat dan PAS seramai 18 ahli Parlimen membentuk majoriti besar, tidak termasuk 3 daripada komponen Barisan Nasional MCA dan MIC.
Hannaan memberi contoh bagaimana Umno tidak berlaku adil kepada Muhyiddin apabil merebut jawatan menteri besar dan ketua menteri di beberapa negeri yang turut jatuh selepas Pakatan Harapan runtuh di Putrajaya.
Beliau merujuk pada pelantikan ketua Umno Johor, Hasni Mohammad sebagai menteri besar Johor yang baharu.
“Jika Perdana Menteri adalah dari Bersatu, jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri juga harus letaknya kepada Bersatu,” katanya.
Dalam ucapannya sulungnya selepas mengangkat sumpah, Muhyiddin berkata beliau memahami kehendak rakyat yang mahu sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.
“Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Beberapa pihak menjangkakan, dengan kenyataan itu, barisan kabinet yang sedang dibentuk oleh Muhyiddin tidak akan melibatkan pemimpin yang berjawatan tinggi daripada Umno. – 4 Mac, 2020.
Komen