MUHYIDDIN Yassin mungkin memegang kemudi, tetapi Umno dan PAS adalah enjin bagi kerajaannya, kata penganalisis politik mengenai pentadbiran baharu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa janji pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk memperbaharui institusi negara akan hanya tinggal janji kerana kini Umno dan PAS mempunyai kata pemutus.
Kedua-dua parti membentuk pakatan Muafakat Nasional, blok terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Umno mempunyai kelebihan 39 ahli Parlimen berbanding 36 yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin daripada Bersatu.
Muafakat Nasional menentang sebahagian besar pembaharuan PH, seperti pengisytiharan aset ahli Parlimen, meminda undang-undang hukuman mati dan membentuk badan untuk memantau salah laku dalam pasukan polis, kata penganalisis.
Mereka menambah bahawa hubungan etnik akan semakin memburuk kerana pentadbiran baharu terdiri 99% Melayu-Islam dan penuh dengan nasionalis Melayu, tidak mencerminkan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum.
Selain itu, diragui sama ada kes mahkamah yang berprofil tinggi melibatkan tokoh Umno akan diteruskan kerana parti itu kini mempunyai kuasa berhubung lantikan peguam negara.
“PAS berulang kali mengingatkan semua orang yang Muafakat Nasional adalah tulang belakang kerajaan ini. Tanpa sokongan mereka, kerajaan ini tidak akan wujud,” kata saintis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.
“PAS dan Umno akan mempunyai bahagian terbesar jawatan dalam Kabinet; ini tidak seperti PH, dengan setiap parti mempunyai bahagian yang sama.
“Azmin dan ahli Parlimennya tidak mempunyai kuasa. Jika mereka kata ingin meneruskan pembaharuan institusi, ia hanya cakap. Suaranya sangat kecil,” katanya, merujuk kepada bekas pemimpin nombor dua PKR, Mohamed Azmin Ali.
Azmin dan Muhyiddin, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PH, menjadi pencetus ia tumbang apabila mereka keluar daripada gabungan itu pada 24 Februari.
Azmin membawa bersama 10 lagi ahli Parlimen PKR, tetapi sekurang-kurangnya satu, Baru Bian, mengumumkan menarik balik sokongannya terhadap bekas timbalan presiden itu dan kembali kepada PH.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Ahad selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum itu yang beliau memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 114 ahli Parlimen. – 6 Mac, 2020.
Berita penuh di sini
Komen