Saudara kandung isteri pastor beri keterangan siasatan awam Suhakam


Noel Achariam

Ram Ram Elisabeth, 44 dan adik lelakinya Iman Setiawan Sitepu, 39, tiba Ahad lalu dari Indonesia untuk menjadi saksi panel siasatan awam Suhakam bagi menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

SAUDARA kandung isteri Pastor Joshua Hilmy, Ruth Sitepu, dijangka akan memberi keterangan pada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Ram Ram Elisabeth, 44 dan adik lelakinya Iman Setiawan Sitepu, 39, tiba Ahad lalu dari Indonesia untuk menjadi saksi panel siasatan.

Mereka dijangka akan pulang ke Nambiki di Sumatera Utara sebaik sahaje selesai memberi keterangan.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan keluarga mereka terkejut apabila mendapat tahu Ruth hilang. Kali terakhir mereka berhubung dengan Ruth ialah pada November 2016, bulan sama wanita itu dan suaminya dilaporkan hilang.

Iman berkata Ruth kebiasaannya menghubungi keluarga dua kali setiap bulan. Ruth berhenti menghubungi mereka selepas November 2016.

Katanya lagi, keluarga mendapat tahu Ruth hilang pada Mac 2017 melalui seorang rakan di Indonesia.

Hanya setahun kemudian Iman dan kakaknya Ram Ram membuat laporan polis di Malaysia. Itupun dengan bantuan gereja dan rakan-rakan Ruth di Indonesia yang mengumpul dana untuk mereka.

Bulan lalu, dua beradik itu berkata mereka berharap Putrajaya dapat membantu mencari jawapan kepada kehilangan Joshua dan Ruth.

Suhakam menjalankan siasatan awam bagi menentukan sama ada mereka adalah mangsa kehilangan paksa.

Tidak banyak maklumat mengenai pasangan ini, yang kali terakhir dilihat di Petaling Jaya pada 30 Nevember 2016.

Semalam, seorang saksi memberitau panel siasatan bahawa Joshua dan Ruth mahu melarikan diri ke luar negara selepas menerima ugutan menerusi panggilan telefon.

Selvakumar Peace John Harris berkata Joshua mungkin diugut sejak 2015 tetapi tidak tahu siapa yang membuat panggilan telefon.

Saksi itu juga berkata Joshua dan Ruth mahu melarikan diri tetapi tidak dapat berbuat demikian.

Undang-undang hak asasi antarabangsa mentafsirkan kehilangan paksa sebagai seseorang yang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kuasa, sokongan atau persetujuan daripada kerajaan atau organisasi politik.

Panel siasatan awam Suhakam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus, dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.  – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen