Teruskan saja dasar pendidikan yang baik, kata pendidik


Sheridan Mahavera

Menteri pendidikan baharu mesti meneruskan dasar-dasar baik yang diperkenalkan oleh pendahulunya, kata Loke Yim Pheng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mac, 2020.

MENTERI pendidikan baharu mesti meneruskan dasar-dasar baik yang diperkenalkan oleh pendahulunya, bukan memperkenalkan dasar baharu hanya untuk menaikkan imej mereka, kata seorang pendidik.

Loke Yim Pheng dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata dasar pendidikan memerlukan masa sepuluh tahun untuk berhasil, dan sebarang perubahan dalam tempoh tersebut hanya menambah beban kepada sistem pendidikan.

Perubahan demi perubahan, seperti Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya akan menambah masalah sedia ada, kata Loke pada forum pendidikan di Petaling Jaya malam tadi.

“Menteri silih berganti, tetapi dasar mesti diteruskan kerana kita perlukan masa untuk melihat hasilnya. Hasilnya tak dapat dilihat dalam masa lima tahun.

“Tak perlu perkenal dasar baharu setiap kali menteri bertukar semata-mata untuk menunjukkan yang mereka ada buat sesuatu. Sebaliknya, mereka perlu teruskan dan menambah baik dasar yang bagus.”

Antara dasar yang bagi beliau patut diteruskan adalah Program Dwibahasa (Dual Language Programme), pengurangan peperiksaan dan lebih penumpuan pada  Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET).

Loke membuat gesaan tersebut ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedang memilih anggota Kabinetnya.

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Haraan, perubahan yang dibawa ke dalam Kementerian Pendidikan oleh Maszlee Malik mendapat pujian dan kritikan.

Bekas menteri pendidikan itu dipuji kerana menambah dana kelas murid berkeperluan khas, mendaftarkan kanak-kanak tidak berdokumen dan membaiki sekolah usang.

Bagaimanapun, Maszlee diselar kerana meneruskan dasar pengajaran Jawi bagi murid Tahun 4 sekolah vernakular yang diperkenalkan oleh Barisan Nasional dan menamatkan aliran mata pelajaran Tingkatan 4.

Maszlee meletak jawatan pada Januari, dan tempatnya dipangku sementara oleh Dr Mahathir Mohamad yang kemudian membangkitkan semula PPSMI.

Dasar yang diperkenalkan pada 2003 semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri keempat, dimansuhkan selepas prestasi murid dalam subjek Sains dan Matematik merosot.

PPSMI dimansuhkan pada 2012 semasa Muhyiddin memegang portfolio pendidikan. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen