Guru kurang dedikasi punca sekolah kerajaan tiada kualiti


Sheridan Mahavera

Kurangnya dedikasi untuk mendidik dalam kalangan guru di sekolah kerajaan menjadi penyebab utama mengapa murid gagal dipersiapkan mengenai hala tuju selepas tamat persekolahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Mac, 2020.

MASA bekerja pendek, cuti yang banyak dan peluang besar untuk mendapat pasangan hidup yang baik.

Ini antara jawapan yang diberi oleh guru-guru pelatih apabila ditanya mengapa mereka memilih untuk menjadi pendidik, menurut pesara guru, Francis De Luke. 

Jawapan mereka ini memberi gambaran tentang kurangnya keghairahan serta dedikasi untuk mendidik dalam kalangan guru di sekolah kerajaan sekarang, kata De Luke pada forum pendidikan malam tadi.

Katanya, ini juga menunjukkan rendahnya kualiti guru sekaligus menjadi penyebab utama mengapa sekolah kerajaan gagal memberi pendidikan terbaik untuk mempersiapkan murid mengenai hala tuju selepas tamat persekolahan.

Seorang lagi pesara guru yang hanya mahu dikenali sebagai Chakravaty berkata anak saudaranya yang mengajar konsep kalkulus dalam subjek Matematik Tambahan hanya dengan membaca semula apa yang ditulis dalam buku teks.

Menurut Chakravaty, anak saudaranya itu tidak cuba menerangkan kepada murid dengan cara menulis formula atau membuat contoh soalan di papan hitam.

“Seorang guru Fizik di sekolah yang sama terlupa bawa nota. Dan oleh sebab itu juga, tiada kelas untuk hari itu, murid bebas hendak buat apa-apa,” katanya yang kini menjadi tutor bagi subjek Fizik dan Matematik Tambahan.

Contoh yang disebut oleh dua pesara guru ini hanya sedikit sahaja daripada gambaran tentang betapa kurangnya dedikasi dalam kalangan guru.

“Mereka kurang minat untuk mengajar. Jangan memilih untuk menjadi guru semata-mata kerana mudah untuk cari pasangan yang kaya,” kata De Luke pada forum ‘Crisis in Education (Krisis dalam Pendidikan)’ anjuran La Salle Ipoh dan Lasallian Youth Network.

De Luke, bekas guru Bahasa Inggeris dan pernah menjadi guru disiplin, adalah antara panel pendidik dan aktivis termasuk Prof Tajuddin Rasdi dari UCSI University dan bekas setiausahan agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Pheng.

Cara guru mengajar dan mengawal kelas juga bermasalah, mencerminkan tahap keupayaan pentadbir sekolah dan pegawai pendidikan daerah dalam menangani perkara ini.

“Bagi guru India dan Cina, mereka akan dipaksa mengajar Bahasa Inggeris, walaupun mereka bukan mengkhusus dalam subjek itu,” kata De Luke.

“Atas sebab tertentu, guru yang mengkhusus dalam Bahasa Inggeris akan tutup mulut dan tidak beritahu tentang subjek pengkhususan mereka.

“Masalah ini bukan hanya dihadapi di sekolah luar bandar. Malah di bandar, guru Bahasa Inggeris dipindahkan ke sekolah yang terbaik, manakala sekolah di kawasan miskin pula tidak cukup guru.”

Chakravaty berkata, masalah ini bermula pada pertengahan 1980-an, apabila kerajaan melonggarkan syarat pendaftaran guru pelatih dan pemohon diterima masuk tanpa saringan yang betul. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen